Kolej Pendeta Za'ba

 Kolej Kediaman Pelajar KPZ UKM Bangi

Kursus Citra

Lima kursus CITRA berikut ditawarkan kepada para pelajar yang menginap di Kolej Pendeta Za’ba ini. Setiap kursus mengandungi 2 Nilai Kredit dengan 20 jam nosional. Secara umum kursus-kursus berikut menekankan aspek pembangunan soft skill peribadi pelajar dan aplikasi ilmu secara berkumpulan.

 LMCR1172: KURSUS PENGURUSAN ETNIK DAN BUDAYA

Kursus ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan di antara pelajar pelbagai etnik di samping menerap nilai positif dari setiap budaya dan membentuk komunikasi yang baik diantara pelajar pelbagai etnik bagi menghalang polarisasi budaya. Ia juga menjadi medium utama dalam mengetengahkan bakat pelajar dalam kebudayaan etnik masing-masing di samping memberi peluang untuk mengenali kebudayaan etnik lain bagi mewujudkan sentiment perpaduan kaum yang tinggi. Program ini akan melibatkan acara penonjolan bakat, pengurusan acara kebudayaan, aplikasi kebudayaan kepada komuniti serta rampaian budaya pelbagai etnik di dalam sesuatu acara. Pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan dalam bentuk pengalaman pembelajaran dan pendekatan praktikal.

 LMCR1492: KURSUS KEMAHIRAN USAHA NIAGA

Program ini diadakan dengan tujuan untuk mendidik mahasiswa mengenai usaha niaga serta memupuk mereka dengan budaya berniaga, bijak mengambil peluang, mengambil risiko dan berinovasi. Ia juga mampu melahirkan modal insan yang berkebolehan dan berdaya saing dalam keusahawanan. Domian pembelajaran keusahawanan merangkumi aspek keperibadian dan kerja berkumpulan yang cemerlang dari segi akademik dan personaliti. Program ini akan melibatkan tiga kaedah dalam kemahiran keusahawanan iaitu pembelajaran dan pengajaran, program sokongan dan budaya kehidupan di kampus. Pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan dalam bentuk pengalaman pembelajaran, pembelajaran berasaskan masalah dan service learning.

 LMCR1682: KURSUS INTERAKSI DAN RENTAS BUDAYA

Kursus Interaksi dan Rentas Budaya memberi peluang kepada pelajar dengan mendidik mereka dalam hubungan kekeluargaan yang merentasi pelbagai etnik dan agama. Kursus ini juga akan mencungkil dan mengasah bakat para mahasiswa/i dalam menyiapkan diri untuk persediaan menghadapi alam pekerjaan di masa hadapan. Pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan akan memperkembangkan potensi pelajar secara optimum di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri bersatu-padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, progresif, penyayang, adil dan saksama selaras dengan matlamat Wawasan 2020. Selain itu, ia juga memberi pendedahan dan kemahiran secara praktikal kepada pelajar tentang kekeluargaan, kesihatan dan gaya hidup selaras dengan Dasar Sosial Negara.

LMCR1482: KURSUS ETIKET DAN PROTOKOL

Kursus yang ditawarkan oleh Kolej Pendeta Za’ba ini bertujuan untuk memberi pengalaman kepada mahasiswa berkaitan dengan etika dan protokol majlis rasmi dan tidak rasmi. Di samping itu, penganjuran kursus ini juga menerapkan kemahiran sosial sekaligus memperbaiki gaya kepimpinan mahasiswa dalam kerja berkumpulan. Kemahiran komunikasi juga dapat diperbaiki melalui pengalaman dalam berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam proses menganjurkan program. Pengalaman yang diperoleh daripada penganjuran program ini dapat memberi nilai tambah kepada mahasiswa untuk digunakan pada masa akan datang bagi memenuhi kehendak industri.

LMCR1182: KURSUS KHIDMAT KOMUNITI

Kursus ini memfokuskan kepada aktiviti dan program yang dapat memupuk rasa cinta dan minat mahasiswa ke arah melaksanakan perkara-perkara yang mempunyai elemen kesukarelawanan selain dapat menjalin hubungan dengan masyarakat luar supaya dapat menambah nilai akhlak dalam diri. Keprihatinan mahasiswa akan membuatkan masyarakat merasakan bahawa diri mereka dihargai oleh golongan muda, lantas mewujudkan masyarakat yang harmoni, bersatu-padu dan saling membantu. Seterusnya, mahasiswa dapat membuka mata dan cakna akan isu semasa berkaitan kemasyarakatan, yang mampu melahirkan mahasiswa prihatin sebagai pendaulat amanah negara.

Translate »