Kolej Pendeta Za'ba

 Kolej Kediaman Pelajar KPZ UKM Bangi

Sejarah Kolej Pendeta Za’ba

Kolej Pendeta Za’ba atau lebih dikenali sebagai KPZ adalah merupakan kolej kediaman terbesar dan paling bongsu kepada 12 buah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ia terletak di Lingkungan 2 UKM dan berhampiran dengan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FTSM), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Fakulti Pendidikan (FPend), Fakulti Undang-undang (FUU) dan Pusat Pengurusan Akademik.

Nama Kolej Pendeta Za’ba ini diambil sempena nama seorang pendeta ilmu dan nasionalis Melayu tersohor iaitu Zainal Abidin bin Ahmad atau lebihIMG_2068 -SEJARAH KPZ dikenali sebagai Za’ba yang dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Cendikiawan ini memberi sumbangan yang besar terhadap modernisasi penulisan jawi dan perkembangan Bahasa Melayu dan cadangan penubuhan sebuah universiti untuk kaum bumiputera yang menggunakan bahasa Melayu. Atas sumbangan dan semangat yang ditunjukkan Za’ba, KPZ mengangkat kalimah  “Mewarisi Keunggulan Pendeta”  sebagai motto Kolej Pendeta Za’ba

KPZ secara resminya ditubuhkan pada 19 Oktober 2001 hasil perjanjian antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan pihak swasta iaitu Kausar Corporation Sdn. Bhd. Pembangunan KPZ berdasarkan konsep BOT (Build, Operate and Transfer) dengan tempoh konsesi selama tiga puluh tahun. Perjanjian telah ditandatangani antara Prof. Datuk Dr. Anuwar Ali, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan En. Basir Elon, Pendaftar UKM dengan pengarah Kausar Corporation Sdn. Bhd. En. Baharin Ayob dan pengarahnya, En. Tarin Ayub.

KPZ telah dibina atas tapak berkeluasan 15 ekar di Lingkungan Kedua UKM. Kolej ini mempunyai 8 blok asrama (yang setiap satunya terdiri daripada 2 wing) dan sebuah pusat kemudahan pelajar. Kolej ini mampu menempatkan seramai 3630 pelajar. Sehingga 31 Oktober 2013, urusan pembangunan fizikal dan kemudahan diuruskan sepenuhnya oleh Kausar Corporation Sdn. Bhd. (kemudiannya dikenali sebagai Al-Falah Sejati), manakala urusan hal ehwal pelajar diselia oleh Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Kebangsaan Malaysia. Namun kedua-duanya diselaras oleh pengurusan kepengetuan Kolej. Prof. Madya Dr. Yahya Ibrahim yang telah dilantik sebagai pengetua pertama dan diikuti oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Sunawari Long bermula 1 haribulan Ogos 2009 sebagai pengetua kedua KPZ.

Pada peringkat awal KPZ dikenali sebagai Kolej Kausar sempena dengan nama syarikat yang membangunkannya. Bermula pada semester kedua Sesi Pengajian 2004/2005 kolej ini secara resminya dinamakan sebagai Kolej Pendeta Za’ba. Pada permulaannya, hanya 690 pelajar yang terdiri daripada IMG_1672 -SEJARAH KPZprasiswazah dan pascasiswazah ditempatkan di dua blok iaitu Blok A dan Blok B. Kolej ini siap sepenuhnya pada semester 2 sesi 2005/2006. Tarikh 1 haribulan November 2013 adalah detik bersejarah bagi Kolej Pendeta Za’ba apabila secara resminya ia telah diserahkan sepenuhnya kepada pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia hasil pembiayaan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Upacara penyerahan ini telah disempurnakan oleh Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hassan, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia di Pentas Kolej Pendeta Za’ba.

Di bawah kepimpinan Pengetua Kedua pelbagai transformasi telah dilakukan. Ini termasuk dalam bidang akademik melalui pengenalan lima kursus Citra, pemerkasaan bidang ko-kurikulum dengan memperkenalkan program Bersamamu Siswa Za’ba (BERSZA), Cabaran Debat Za’ba (CDZ), mobiliti antarabangsa dan Pertandingan Wind Orchestra. Juga menaiktaraf prasarana termasuk penginapan pelajar, Projek CSR myKPZcare, kemudahan sukan dan rekreasi serta pemodenan bangunan pentadbiran. Aspek penjanaan hasil kepada UKM juga turut dipertingkatkan.

Translate »