BASISKA 8

13 MEI 2017/ 16 SYAABAN 1438H

UKM: PENDAULAT AMANAH NEGARA

*BASISKA 8 PENGERAT MAHASISWA KOLEJ RAHIM KAJAI DAN KOMUNITI UTARA*

Seramai 33 orang mahasiswa Kolej Rahim Kajai telah mengikuti program Baktisiswa Sukarelawan Rahim Kajai (BASISKA) kali ke-8 bertempat di Kampung Teluk Wang Besar, Sg.Petani, Kedah Darul Aman. Program yang telah berlangsung pada 11 hingga 13 Mei 2017 tersebut merupakan anjuran Kolej Rahim Kajai dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg.Teluk Wang Besar.

Siri program BASISKA kali ini dimulakan dengan pendedahan teknologi robotik (EDUBOTS) kepada para pelajar Darjah 5 Sekolah Kebangsaan Teluk Wang Besar dan dirasmikan oleh Prof.Madya Dr.Roslee Rajikan, Pengarah Pusat Pembangunan Mahasiswa dan Alumni. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Dr.Hussain Mahdi, mahasiswa pasca kedoktoran UKM selaku penasihat program EDUBOTS.

Majlis Penyerahan Anak Angkat juga dirasmikan oleh Prof.Madya Dr.Roslee Rajikan melibatkan 16 buah keluarga angkat. Menurut En.Ibrahim Aakashah, setiausaha JKKK kampung, program ini diharapkan agar dapat mewujudkan hubungan yang akrab antara mahasiswa dan komuniti dalam suasana yang santai dan bersahaja.

Mahasiswa juga turut didedahkan dengan aktiviti sukan rakyat di tengah-tengah sawah padi. Menerusi program ini, mahasiswa/i UKM berpeluang untuk merasai pengalaman memasuki sawah disamping mengukuhkan semangat kerjasama berpasukan antara mahasiswa.

Program ini turut mendapat sokongan ahli politik tempatan apabila YB Senator Dato’ Shahanim Mohamad Yusoff, Ahli Dewan Negara merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani sudi untuk merasmikan Majlis Penutupan Program BASISKA 8 pada 13 Mei 2017 di Dewan Serbaguna JKKK Kg.Teluk Wang Besar. Menurut beliau, program sebegini amat bermakna buat seluruh penduduk dan berterima kasih kepada UKM dalam menjayakan program ini.

Turut bersama-sama program ini Timbalan Pengetua Kolej Rahim Kajai, Dr.Mohd Noor Shahizan Ali), Felo Kanan Kolej Rahim Kajai, Saudara Mohd.Nazren bin Zahir dan Felo En.Mohamad Azlan Bin Mohamad Nasrun.