Simposium Penyelidikan 2015: Ekspedisi Saintifik Pulau Langgun & Gunung Raya, Langkawi

gambar simposium

Pada 11 November 2015 yang lalu, Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) dengan jayanya telah menganjurkan ‘Simposium Penyelidikan 2015: Ekspedisi Saintifik Pulau Langgun & Gunung Raya, Langkawi’ bertempat di Hotel Puri Pujangga, UKM Bangi. Simposium penyelidikan ini adalah merupakan platform bagi para penyelidik berkongsi dapatan penyelidikan dalam pelbagai aspek sumber tabii dan budaya yang dicerap, rentetan daripada 2 siri ekspedisi saintifik yang telah dianjurkan oleh PPL sebelum ini iaitu ‘Mini-Ekspedisi Saintifik Langkawi 2012 – Pulau Langgun’ yang telah dijalankan pada 26 – 30 November 2012 dan ‘Ekspedisi Saintifik Langkawi 2014 – Gunung Raya’ pada 23-25 Oktober 2014.

Siri ekspedisi saintifik yang telah dianjurkan ini merupakan aktiviti dwi tahunan yang bertujuan bagi mengumpul maklumat berkenaan sumber semulajadi, warisan dan budaya di Langkawi yang mempunyai kepentingan saintifik untuk pembangunan ilmu secara berterusan. Ia dilaksanakan dengan kolaborasi erat bersama agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta serta turut melibatkan kerjasama komuniti tempatan.

Sejumlah lebih daripada 30 orang peserta telah menyertai simposium penyelidikan pada kali ini dan terdiri dari para penyelidik dan pelajar dari PPL; Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam dan Pusat Penyelidikan dan Analisis Air (ALIR), FST, UKM; serta wakil-wakil daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah; Jabatan Mineral dan Geosains Kedah/Perlis/Pulau Pinang dan Friends of Langkawi Geopark (FLAG).

Laporan oleh Nazren Leman.