UKM Dan Yayasan Bank Rakyat Akan Laksanakan Pembangunan Lestari Sebuah Pulau

01072015_BankRakyat_02

KUALA LUMPUR, 1 Julai 2015 – Yayasan Bank Rakyat (YBR) bercadang untuk membangunkan secara lestari sebuah pulau di pantai timur Semenanjung Malaysia dengan kepakaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk dijadikan paparan umum.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YBR, Dr. Roselan Baki berkata yayasan itu yakin UKM boleh membantu menubuhkan Ecokampung yang akan menjadi model pembangunan mampan dengan perlindungan alam sekitar.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini pada 26 Jun antara YBR dan UKM bersama-sama dengan lima rakan-rakan lain untuk mempromosikan program pendidikan serta memperluaskan peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar dan profesional yang berminat.

Dr Roselan berkata beliau agak berpuas hati dengan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) UKM bagi penyelidikan dan latihan untuk kakitangan YBR di pelbagai projek, termasuk kerjasama di Langkawi.

Walaupun beliau enggan menamakan pulau itu, Dr Roselan berkata YBR  bersetuju  bahawa Lestari UKM akan menyediakan ahli-ahli sains dan penyelidik bagi projek pulau ini, sebagaimana ia telah berjaya melaksanakan beberapa program lain bersama UKM.

Antara projek-projek tersebut adalah program Siri II Komuniti Lestari, yang melibatkan seramai 45 orang pelajar sekolah menengah terpilih di Langkawi. Pelajar belajar melalui modul teori dan amali  tentang hutan, air, tanah dan kumbahan.

Felo Kanan Lestari Dato’ Shaharuddin Mohd Ismail berkata UKM dan YBR adalah penaja bersama program Penemuan Hutan (Forest Discovery) di Langkawi yang meningkatkan kesedaran di kalangan remaja mengenai warisan alam tertua negara – hutan hujan tropika.

Beliau berkata YBP menganjurkan program bersama Lestari Rakyat – Ecosystem Discovery Journey yang disasarkan pelajar dan guru-guru sekolah di Pulau Langkawi khususnya di Pulau Tuba, dengan pelaburan RM100,000.

Menurut beliau matlamatnya program ini adalah untuk memperkenalkan modul pendidikan alam sekitar di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah, mengadakan program latihan berkaitan pendidikan alam sekitar dan mewujudkan pasukan ekorelawan di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Dato’ Shahruddin – yang juga Ketua Kumpulan Teras Air, Hutan dan Sumber Asli Lestari – berkata mereka juga membawa bersama para pelajar dan penyelidik dalam aktiviti-aktiviti Kelab Ekorelawan  seperti berkayak dan berbasikal bermula dari kampus UKM, Tanjung Karang, Tanjung Malim, Teluk Intan dan kembali ke Bangi.

Pada majlis menandatangani MoU tersebut, UKM telah diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar manakala Pengarah Lestari Prof Dr Raihan Tahar menjadi saksi.

Norashikin Shaharudin, Pengurus Besar Bank Rakyat menandatangani untuk yayasan itu disaksikan oleh Dr. Roselan.

Dalam ucapannya, Dr Roselan berkata kerjasama antara agensi-agensi kerajaan, sektor korporat dan institusi pengajian tinggi akan membantu meningkatkan taraf pendidikan di negara ini melalui penajaan pendidikan serta pinjaman yang boleh ditukar kepada biasiswa untuk pelajar yang cemerlang.

Pihak-pihak lain ialah Berita Harian (BH), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Utara Malaysia (UUM), Putra Business School (PBS), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Akademi KRU.

Bersempena dengan tandatangan MoU tersebut, YBR mengambil peluang untuk mengadakan majlis berbuka puasa bagi kira-kira 150 tetamu jemputan bagi mengeratkan lagi tali silaturahim dengan rakan-rakan korporat.

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim