RESEPI BERASASKAN MIKROB
  • YOGURT                                TAPAI
  • YOGURT

    Bahan-bahan:
    200ml yogurt perasa semulajadi (boleh dibeli dari pasaraya)
    1 liter susu (kalau suka guna susu rendah lemak)

    Cara membuatnya:
    Didihkan susu dan biarkan sebentar sehingga suam (secara saintifiknya 37oC ). Masukkan yogurt (ianya mengandungi bakteria kultur). Kacau dan tutup rapat. Eram semalaman (16-20 jam) pada suhu bilik  (30oC) atau letak atas peti sejuk (suhu agak tinggi disini ~37 oC). Hasilnya anda akan mendapat susu yang mempunyai tekstur agar likat=yogurt. Boleh tambahkan perisa (kordial atau gula) dan juga buah-buahan. Kalau tambah air  (2/3 dari sukatan yogurt anda akan dapat lassi).
    Simpan dalam peti sejuk untuk menghalang bakteria kultur dari terus memfermentasi. Yogurt yang telah anda buat itu boleh digunakan sebagai kultur untuk membuat lebih banyak lagi yogurt.

    (resepi ini telah diberitahu oleh Dr. Salmijah Surif kepada saya dan beliau telah mendapatnya dari Dr. Sheila Nathan)


    TAPAI

    Bahan-bahan:
    1 kg pulut
    1 g inokulum tapai (dibeli dari MARDI-Bahagian Teknologi Makanan)

    Cara membuatnya:
    Basuh pulut dan rendamkannya selama sejam (ini bagi membolehkannya mengembang dan mengelakkan rasa keras pada pulut). Masukkan ke dalam periuk nasi elektrik dan masukkan air sehingga ke paras 1.5 cm dari aras pulut. Tekan suis periuk nasi dan biarkan masak. Setelah itu, ambil bekas besar (misalnya talam) bersihkan dan lap kering-kering. Masukkan pulut yang telah dimasak ke dalam talam dan sebarkan. Biarkan sehingga suam dan taburkan inokulum tapai rata-rata sehingga mengenai semua bahagian pulut. Masukkan ke dalam bekas kedap udara (boleh juga guna plastik dan ikat kemas-kemas). Eramkan selama 48 jam pada suhu bilik. Selepas itu gaul rata-rata dan masukkan ke dalam peti ais bagi menghalang fermentasi dari terus berlaku. Boleh dimakan bersama aiskrim untuk menambah keenakan rasanya.

    SELAMAT MENCUBA



    KEMBALI KE ATAS 
    KEMBALI KE LAMAN UTAMA

    ANDA ADA CADANGAN LAIN? SILA EMAIL SAYA

                                                                     21 MEI 2001