Padah Jenayah Siber Buli

Oleh: Wan Ilisiema

Penggunaan teknologi telekomunikasi dan internet kini kian hebat disalahgunakan
oleh pembuli siber . Buli siber tidak melibatkan fizikal tetapi lebih kepada emosi.
Melalui teknologi ini, terdapat ramai remaja yang dibuli sama ada diejek, dibenci dan
dipulaukan oleh pengguna lain melalui laman sosial laman video dan sistem
pasangan ringkas (SMS). Kegiatan ini sudah menjadi sifat semula jadi manusia yang
menggemari sesuatu yang mengujakan, melucukan ataupun menyentuh emosi. Sifat
ini biasanya disusuli dengan tolakan yang kuat untuk menyebar dan
menghebahkannya akibat teruja untuk berkongsi perasaan yang sama.

sumber dari Google

Mungkin di sini bermulanya kebanyakan video, gambar dan cerita yang tular dalam
masyarakat hari ini. Kewujudan alam tanpa sempadan atas nama Internet, media
sosial dan seangkatan dengannya pula menjadi katalis bagi fenomena ini.
Menurut kajian yang dijalankan oleh The National Council on Crime Prevention,
sebanyak 81 peratus remaja melakukan buli siber hanya untuk keseronokkan
sahaja. Hal ini demikian kerana mangsa tidak mengetahui identiti sebenar mereka
yang boleh disembunyikan di sebalik pengenalan palsu dalam laman sosial masing-
masing.
Perangkaan tersebut menunjukkan mentaliti generasi masa kini semakin parah.
Melakukan jenayah buli siber, biar tidak menyentuh atau menyakiti fizikal si mangsa
secara berdepan, hakikatnya tekanan buli yang dilakukan memberi kesan
sampingan bukan hanya kepada mentaliti, malah sehingga mendorong perbuatan di
luar kawalan termasuk membunuh diri.
Tidak kira siapa yang merakam atau menyebarkannya, apa yang kita tahu ialah
perkara ini tular ke segenap kumpulan media sosial dan laman web seperti
​Facebook, Twitter dan sebagainya. Ia disambut dengan senyuman, tawa dan
akhirnya kembali tular. Namun, pada sisi lain fenomena ini yang sering kita terlepas
pandang ialah akibat dan kesannya kepada mangsa yang dirakam.
Perbuatan merakam dan menyebar tanpa izin bukan sahaja menyalahi sempadan
privasi individu, malah lebih teruk, memberi kesan secara langsung kepada subjek
yang dirakam. Apa yang lebih malang, semua ini akan kekal di dalam alam maya
seperti tiada penghujungnya.

Kaedah membuli bukan sekadar fizikal
Menurut kenyataan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia
(MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, sekurang-kurangnya satu daripada dua belia
mengakui telah mengalami pembulian siber di Malaysia berdasarkan kajian Stop
Cyberbullying 2017 dibawah program Digi Cyber SAFE.
Ironinya, di Malaysia, masih ramai yang tidak mengetahui atau menganggap bahawa
buli siber sebagai sesuatu yang serius. Bagi Neelofa yang baru melibatkan diri
dalam mempromosi Kempen Tanggungjawab Sosial ‘Akhiri Buli Siber & Penyebaran
Maklumat Palsu’ berkata beliau sering menjadi mangsa buli siber sehinga
membuatkan beliau berasa teragak-agak untuk berkongsi gambarnya di media
sosial seperti ​Instagram ​kerana apa jua yang dilakukannya pasti akan mendapat
perhatian netizen.
Pembuli seperti ini boleh dianggap seperti ‘membaling batu, sembunyi tangan’, tidak
jelas perlakuan dan sukar untuk dibuktikan. Tidak hairanlah sehingga ke hari ini,
masih tiada seorang pun yang didakwa atas kesalahan sebagai pembuli siber,
walaupun kita mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bentuk pembulian media sosial termasuk mengirim komen negatif mengenai
gambar, cacatan lucah/makian di akaun media sosial seseorang pengguna,
menggunakan gambar atau video mempersendakan pengguna lain, menggunakan
media sosial untuk mengintip, menggodam akaun atau membuat catatan dusta
seolah-olah orang lain yang menulisnya.
Tindakan dan peranan semua pihak
Bagi tujuan membentuk kanak-kanak dan remaja yang membangun dengan sihat
fizikal, mental, rohani dan emosi serta memiliki kecemerlangan akademik, semua
pihak perlu memainkan peranan penting bagi mewujudkan persekitaran yang
mampu mencegah berlakunya gejala buli ini yang memberi impak negatif kepada
mangsa buli siber.
Ibu bapa dan anak perlu memiliki pengetahuan siber terutama aspek keselamatan
serta privasi. Pendekatan berbincang secara terbuka antara ibu bapa dan anak
dapat mengurangkan risiko bahaya remaja dalam penggunaan aplikasi atas talian.
Ibu bapa perlu mengenal pasti risiko setiap aplikasi yang diguna dan penggunaan

Internet di tempat terbuka dalam pemantauan keluarga, antara langkah yang boleh
dipraktikkan kepada anak.
Laporkan insiden yang berlaku kepada pihak berkuasa di negara kita, seperti tiga
agensi yang berkaitan dengan jenayah siber, iaitu Cyber Security Malaysia (CSM),
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja
Malaysia (PDRM). Melalui ketiga-tiga agensi berkenaan, setiap aduan akan diambil
tindakan segera dan ia akan disiasat mengikut Akta Lindungan Maklumat Peribadi
2010. Pihak CSM juga menerima aduan secara dalam talian.
Sememangnya kecanggihan teknologi maklumat memberi pilihan kepada kita untuk
berhubung, bergaul serta berkomunikasi, tetapi ia juga boleh mengundang padah
apabila wujud pihak yang mahu mengambil kesempatan menganiaya mereka. Isu
penyalahgunaan siber janganlah dipandang ringan. Malah ketika ini juga sudah
sering kali kedengaran penggunaan ilmu hitam menerusi teknologi maya.
Tidak mustahil dalam tempoh lima tahun lagi, pembuli siber boleh melibatkan pelaku
kanak-kanak berusia 10 tahun seperti yang berlaku di negara maju, jika masalah ini
terus dianggap remeh.

Tips Jadi Usahawan Muda Berjaya

Oleh : Siti Maizura Maulad Othman

Jika kita lihat hari ini, semakin ramai graduan muncul sebagai ikon dan sumber inspirasi
kepada usahawan muda yang ingin menceburi bidang perniagaan
Selain daripada itu, ada juga yang masih lagi belajar tetapi sudah mampu mengumpulkan aset
simpanan seperti pembelian emas, melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta
mempunyai aset hartanah sebagai pelaburan.
Mungkin bagi mereka yang bekerja, mereka masih tidak sedar dan tidak nampak lagi melihat
kehadiran anak-anak muda ini serta merasakan ia adalah sesuatu yang sangat mustahil untuk
mereka capai.
Tetapi bagi usahawan-usahawan muda yang baharu hendak bermula, kejayaan demi kejayaan
yang ditonjolkan oleh ikon ini di media sosial terutamanya di Facebook dan Instagram
membuatkan lebih ramai golongan muda mendapat inspirasi dan mula bangkit untuk berjaya.
Antaranya yang mungkin kita boleh perhatikan seperti Radkl Premium, Chettaki Omey,
Ombak Exclusive, Serdang Cendol, QAMIISQA, Qiey In Jewels, CvuIpata Legacy dan
banyak lagi.
Apa yang lebih menarik lagi, ada dalam kalangan golongan muda ini hanya menjual produk
orang lain dan mampu mengutip jualan sehingga ratusan ribu setahun. Dan apa yang
membuatkan mereka ini berjaya?
1. Keinginan mencabar diri sendiri.
Kebanyakan usahawan muda terutama yang masih belajar melakukan perniagaan sekadar
suka-suka dan lebih kepada mendapatkan duit poket untuk perbelanjaan makan dan minum
seharian.
Tetapi lama-kelamaan timbul satu keinginan untuk mencabar diri mereka mencuba sesuatu
yang lain. Dan daripada rasa ingin berbeza itu, mereka mencabar diri untuk menjadi
seseorang yang lebih berjaya.
2. Kurangkan kebergantungan pada ahli keluarga.
Tanamkan dalam diri untuk mengurangkan beban keluarga. Sikap ini harus dipupuk terhadap
pelajar masa kini dan jangan terlalu manja dengan suapan keluarga tidak kira pelajar itu
berasal daripada keluarga yang berkemampuan atau pun tidak.
Hanya kerana keluarga boleh membantu, pelajar ini tidak mahu belajar berdikari untuk cuba
mencari duit poket walaupun sedang belajar.
Daripada itu nanti akan timbul minat dan ingin berusaha sehinggalah boleh mengusahakan
perniagaan sendiri. Alangkah seronoknya apabila mampu memegang hasil titik peluh sendiri
dengan mencari pendapatan sampingan.

3. Berani mempunyai impian yang besar.
Mereka yang menceburi bidang perniagaan tidak boleh hanya setakat mempunyai impian
yang kecil seperti ingin berniaga sekadar untuk menampung diri sendiri sahaja.
Sebagai pelajar, wajib berfikiran lebih jauh dan optimistik untuk membina empayar yang
lebih besar. Kemudiannya mempunyai matlamat yang jelas untuk membantu orang lain
mendapatkan pendapatan serta ingin memberikan pekerjaan kepada mereka.
4. Mempunyai sikap ingin berjaya.
Sikap ini harus ada pada seorang pelajar yang ingin berjaya. Jika melihat mereka yang telah
berjaya melalui fasa pertama dalam perniagaan pasti mempunyai sikap yang lain daripada
biasa.
Contohnya seperti mereka akan lebih berfikiran terbuka, sedia menerima teguran atau pun
meminta untuk ditegur, tidak sombong untuk mendapatkan sesuatu ilmu, sentiasa merendah
diri dan dalam pada masa yang sama mereka menjalinkan hubungan yang baik sesama rakan
perniagaan yang lain.
Sikap akan melambangkan diri seseorang itu untuk membawa dirinya ke arah mana sama ada
akan berjaya dalam perniagaan atau sebaliknya.
5. Tidak mudah beri alasan dan banyak ‘tapi’.
Mereka yang tidak ingin berjaya akan sering mengatakan `tapi’. Mereka juga sering mencari
alasan dan akhirnya tidak nampak cara untuk memajukan diri sendiri.
Orang yang sudah berjaya lebih banyak melalui saat-saat jatuh dan bangun berulang-ulang
kali namun tidak pernah berputus asa untuk meneruskan perjalanan kerana mereka tidak
mudah memberi alasan untuk berhenti.
Siapa kata pelajar universiti tidak boleh berjaya dalam bidang perniagaan? Semua pilihan
terletak di tangan anda untuk memilih sama ada ingin memajukan diri atau sekadar duduk
sahaja menunggu tuah untuk datang. Perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah, namun jika
kita meminati apa yang kita usahakan sudah pasti kita tidak cepat merasa bosan dan bekerja
keras untuk mencari strategi yabg terbaik bagi mengembangkan lagi perniagaan ke tahap
membanggakan.
Dewasa ini, kita juga tidak perlu khuatir akan ketiadaan modal untuk mulakan perniagaan
kerana pihak kerajaan sendiri sangat mengalu-alukan generasi muda melibatkan diri dalam
bidang perniagaan dengan memberikan pelbagai bantuan dari segi pinjaman, gran perniagaan
dan bantuan berbentuk peralatan khususnya pada golongan graduan.
Oleh yang demikian, tidak ada alasan lagi untuk kita terus berada dalam zon selesa kerana
kita boleh melangkah lebih jauh dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan seraya
dapat mencipta peluang pekerjaan bagi mereka yang memerlukan. Percayalah, bahawa tiada
apa yang mustahil.

Campus Mania Anjur Jualan Murah Untuk Mahasiswa

Oleh: Noranisha Othman

BANGI, 17 Okt – Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diserikan
dengan sebuah karnival mini dikenali sebagai Campus Mania yang mana telah
menggamit minat ramai mahasiswa serta mahasiswi untuk bersama-sama membeli
produk barangan peribadi dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran.
Campus Mania merupakan sebuah jelajah kampus untuk mempromosikan produk
barangan peribadi gabungan beberapa jenama besar seperti Pixy, Pucelle, Avon, Tsubaki,
Mark, b.liv dan sebagainya. Campus Mania ini berlangsung selama tiga hari bermula 16
Oktober 2018 hingga 18 Oktober 2018 dengan pelbagai barangan seperti, bedak, minyak
wangi, sabun dan lain-lain.
Menurut salah seorang peniaga, Afiqa Hamiza, 23, jelajah Campus Mania merupakan
inisiatif mereka sendiri dengan kerjasama pelbagai jenama produk untuk mengunjungi
seluruh universiti di Malaysia bagi mendekati mahasiswa untuk meringankan beban
berbelanja barangan peribadi yang diperlukan.
“Kebanyakan produk yang dikeluarkan adalah barangan peribadi daripada kilang serta
dibawa terus kepada mahasiswa bagi mengurangkan kos perbelanjaan mereka dengan
mengenakan harga yang sangat murah berbanding harga pasaran,” ujarnya lagi.
Salah seorang pelajar jurusan Ekonomi, UKM, Nur Izzati Zamri, 22 berkata bahawa
karnival mini seperti ini sangat bermanfaat terutamanya kepada golongan mahasiswa dan
mahasiswi yang kurang berkemampuan.
“Pertama kali saya hadir ke Campus Mania ini dan menariknya harga ditawarkan sangat
murah daripada harga diluar yang mana boleh mencecah hingga berpuluh-puluh ringgit
untuk satu produk.
“Saya suka karnival mini sebegini dan sangat menyenangkan untuk pelajar yang kurang
berkemampuan,” katanya lagi.

Bagi salah seorang pelajar jurusan Komunikasi Media, Siti Farwani Muhamad, 22 berkata
Campus Mania merupakan sebuah karnival mini yang menarik kerana pelbagai aktiviti
diadakan serta memberi saguhati kepada pengunjung.
Tambah lagi seorang pelajar jurusan Kerja Sosial, Nurul Ain Zakaria, 23 berkata karnival
mini ini satu inisiatif baik yang dilakukan oleh pihak luar untuk memberi kemudahan
kepada mahasiswa pada masa yang sama memberi kelebihan untuk perniagaan mereka.
Campus Mania telah menjelajah beberapa Universiti Awam seperti Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
dalam memperkenalkan mahasiswa tentang produk barangan peribadi dengan harga yang
lebih berpatutan.