Nyawa Bayi Tergadai di Tangan Pengasuh

Oleh : Siti Syahaslin Idayu Mohd Din

Sekarang sudah hampir ke penghujung bulan November dan banyak berita yang telah kita  lihat dan dengar mengenai nyawa bayi yang tergadai di tangan pengasuh. Situasi ini pastinya menyebabkan ramai ibu bapa yang gusar dan khuatir untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan.

Baru-baru ini laporan daripada Astro Awani mengenai bayi yang bernama Zara yang berusia 11 bulan maut apabila didapati tempurung kepalanya pecah akibat dihentak objek tumpul serta didera secara seksual oleh pengasuhnya yang menyebabkan berlakunya kekoyakkan baru pada selaput daranya dan di dubur mangsa.

Selain daripada itu, berita yang paling menyayat hati dan mengemparkan satu Malaysia dimana adik Adam Rayqal Mohd Sufi, 5 bulan, ditemui mati di dalam peti ais dua pintu di rumah pengasuhnya bulan Julai lalu.

Penulis sebagai mahasiswa berasa sangat marah dan takut dengan senario yang kita sendiri tidak boleh fikir dek akal fikiran. Masakan bayi yang baru berusia 11 bulan itu menjadi nafsu serakah manusia durjana yang tidak berguna. Apakah yang mereka lihat pada bayi tersebut?Penulis masih buntu memikirkan tentangnya. Sampaikan pada suatu ketika, penulis merasakan yang penulis sanggup berhenti kerja demi menjaga dan mengasuh anak sendiri daripada meletakkan tanggungjawab itu kepada pengasuh pada suatu hari nanti.

 

Tindakan Terhadap Pengasuh

Petikan laporan Berita Harian Online, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuat  kajian menyeluruh terhadap keperluan serta masalah membabitkan pusat asuhan.

Isu ini timbul apabila ramai ibu bapa yang tidak mendapat hak pembelaan anak mereka dan pengasuh hanya mendapat hukuman yang ringan serta ada juga yang bebas begitu sahaja.

Perkara ini telah membangkitkan kemarahan orang ramai yang menyatakan bahawa hukuman paling setimpal dengan pengasuh yang menyebabkan kematian bayi yang tidak bersalah itu adalah ‘hukuman mati’. Walaubagaimanapun, negara kita adalah negara yang mempunyai undang-undang dan polisi yang kita perlu patuhi.

Agensi yang berkaitan juga perlu memastikan kesemua pengasuh ini mempunyai lesen yang berdaftar sama ada yang mengasuh di kediaman sendiri atau di pusat asuhan. Hal ini demikian, kebanyakkan isu yang menyebabkan kematian bayi oleh pengasuh ini adalah disebabkan tiada pendaftaran yang sah dan bayi ini tidak dapat hak pembelaan yang sewajarnya.

Peranan Ibu Bapa

Menurut perspektif penulis, ibu bapa tidak boleh memandang enteng terhadap perkara ini. Jangan disebabkan ingin mencari wang dan sesuap nasi, nyawa anak tergadai. Ibu bapa perlu memastikan keselamatan tempat asuhan sebelum menyerahkan tugas kepada pengasuh.

Pastikan pengasuh itu bebas daripada pengaruh dadah kerana kebanyakkan kes yang berlaku adalah disebabkan oleh pengasuh yang mempunyai pengaruh di bawah dadah dan penyakit mental. Mereka akan melakukan sesuatu di luar jangkaan kerana mereka berada dalam khyalan dan separuh sedar.

Justeru, selidiklah dahulu latar belakang pengasuh sebelum menghantar anak-anak ke tempat asuhan tersebut.

 

Kuatkuasa Undang-Undang

Keselamatan kanak-kanak perlu diutamakan. Kepentingan terbaik kepada kanak-kanak turut diuar-uarkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (United Nations Convention on the Rights of the Child) (CRC).

Di Malaysia, kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun diberi perlindungan khas dan dikawal di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang diluluskan bagi tujuan menjaga kepentingan kanak-kanak. Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 pula dibuat sebagai penambahbaikan ke atas Akta Kanak-Kanak 2001 ini demi memperkasakan perlindungan ke atas mereka yang masih di bawah 18 tahun.

Merujuk Artikel 2(2) CRC, Malaysia sebagai negara ahli dalam CRC dikehendaki mengambil segala langkah yang sesuai untuk memastikan bahawa kanak-kanak dilindungi daripada semua bentuk diskriminasi atau hukuman berdasarkan status, aktiviti, pernyataan pendapat, atau kepercayaan ibu bapa kanak-kanak, penjaga yang sah, atau ahli keluarganya.

Malaysia memperuntukkan banyak hukuman dalam bentuk sekatan sebagai rintangan di antaranya Seksyen 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi pertuduhan meliwat manakala seksyen 376B Kanun Keseksaan hukuman bagi perbuatan merogol mangsa.

Bagi kesalahan melakukan seksual fizikal tanpa persetubuhan pula, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa pula diperuntukkan dalam seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2016. Namun begitu, perbuatan jenayah sadis ke atas kanak-kanak masih berleluasa malah semakin menjadi-jadi. Justeru, penulis berharap agar undang-undang semakin dikuatkuasakan dan pengasuh yang melakukan jenayah perlu mendapat hukuman yang setimpalnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

HARI INTERAKSI KOR SISPA UKM DISAMBUT MERIAH

Oleh : Siti Mastura Ramli

BANGI, 18 Nov – Badan beruniform Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (Kor SISPA UKM) telah mengadakan hari interaksi kali ke- 3 yang mana disambut dengan meriah di gelanggang Kolej Keris Mas (KKM) dan Pusat Kesatria, UKM.

Tujuan hari interaksi ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan dan saling mengenali antara semua kompeni iaitu Kompeni 6, Kompeni 7 dan Kompeni 8 yang mana baru menyertai badan beruniform ini.

Muhammad Munir Nor Mohamad 22, Ketua Pengarah hari interaksi Kor SISPA berkata, aktiviti-aktiviti yang dijalankan semuanya dapat merapatkan ukhuwah antara kompeni melalui aktiviti secara berkumpulan seperti bola jaring, futsal, sambut belon air, boling kelapa, cari barang melalui abjad, tarik tali dan sebagainya lagi.

“Terdapat dua slot aktiviti iaitu sesi pagi di gelanggang KKM manakala sesi petang di Pusat Kesatria. Program ini juga dirasmikan oleh Ajutan Kor SISPA UKM iaitu Mej. Bersekutu (PA) Mohd Azmi Kasim,” ujarnya.

Nor’ Aina Fariha Talib 22, Kompeni 6 berkata, dia rasa sangat seronok menyertai program ini kerana dapat kenal ahli baru dan berharap dapat membina hubungan baik antara kompeni melalui kerjasama dalam aktiviti-aktiviti yang telah diadakan.

“Mulanya saya ingat program ini hanya sesi suai kenal tetapi bila adanya aktiviti-aktiviti yang menarik ini, saya rasa gembira dan harap hari interaksi ini diteruskan lagi,” kata Aizzah Fitri Shafuraa Yunos 22, Kompeni 8.

Dalam ucapan perasmian yang dirasmikan oleh Mej. Bersekutu (PA) Mohd Azmi Kasim, beliau berkata hari interaksi ini amat baik untuk semua anggota berkumpul dan berharap pelajar lebih aktif dalam Kor SISPA. Menurutnya lagi, terdapat badan beruniform baru yang akan ditubuhkan di UKM yang mana telah diluluskan dikenali sebagai Kelana Siswa iaitu Pengakap.

 

PROGRAM RUMAH HANTU KOLEJ KERIS MAS 2018 GAMIT SUASANA SERAM

Oleh: Wan Nur Aqilah Wan Mohamed Kasbi

Sumber gambar: Kelab Rakan Siswa (KERIS) Kolej Keris Mas

Disunting oleh: Wong Jia Ying

 

BANGI, 16 Nov – Program Rumah Hantu Kolej Keris Mas 2018 yang telah diadakan di Blok 2, Kolej Keris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini ternyata telah berjaya menggamit suasana seram dan menakutara pengunjung.

Penganjuran kali kedua Program Rumah Hantu Kolej Keris Mas yang telah dianjurkan oleh Kelab Rakan Siswa atau lebih dikenali sebagai Kelab KERIS telah diadakan selama tiga hari berturut-turut bertempat di blok 2 yang merupakan salah satu blok tidak berpenghuni dan terbengkalai sejak awal penubuhan Kolej Keris Mas.

Menurut penasihat Kelab KERIS dan juga felo Kolej Keris Mas, Frankie Marcus Ata, beliau berkata kelainan program rumah hantu Kolej Keris Mas berbanding dengan kolej-kolej lain ialah mereka menggunakan suasana persekitaran dan tempat yang sebenar iaitu blok 2 yang tidak berpenghuni selama 19 tahun.

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk memenuhi masa lapang para pelajar pada hujung minggu dengan melakukan aktiviti yang berfaedah di samping memberikan pendedahan kepada ahli kelab KERIS untuk menguruskan program dan membuka peluang keusahawanan kepada mereka,” tambah beliau.

Aeffey Ating, pelajar tahun 3 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang merupakan salah seorang ahli Kelab KERIS berkata, program ini dapat meningkatkan daya kreativiti para pelajar kerana dari segi pemakaian dan solekan hantu telah dilakukan oleh ahli kelab di samping dapat melepaskan tekanan belajar.

“Seronok tetapi agak seram jika dibandingkan dengan program rumah-rumah hantu yang lain kerana banyak elemen terkejut yang saya tidak jangkakan dan hantu-hantu yang ada juga bertindak untuk mengikut dan mengejar pengunjung yang hadir,” Aisyah Hussana Jafri, pelajar tahun 1, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Menurut Nur Faiqah Afif Subari, pelajar tahun 1 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, kepelbagaian jenis hantu yang ditampilkan serta lakonan dan solekan yang menjadikan keadaan itu seperti keadaan yang sebenar telah membuatkan program rumah hantu pada kali ini sangat unik yang membuatkan para pengunjung amat berpuas hati dengan usaha yang telah diberikan oleh pihak penganjur.

Syafiqa Irdina Azime, pelajar tahun 3 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata, “saya berasa sangat teruja kerana ini merupakan pengalaman kali pertama saya datang ke program rumah hantu yang dianjurkan oleh Kolej Keris Mas dan saya berharap pihak pengurusan boleh memanjangkan lagi tempoh masuk rumah hantu supaya lebih lama pada masa akan datang.”

Program ini juga telah memberi peluang kepada para pelajar lain untuk menambah sumber kewangan dengan membuka pelbagai jenis gerai jualan makanan dan minuman di hadapan blok 2 sepanjang program tersebut berlangsung.