KESIHATAN MENTAL DAN DI MANA KITA?

Oleh : Yasminjannah Mohd Redzuan

Disunting Oleh : Lai Sin Dee

Baru-baru ini, media sosial menjadi kecoh dengan berlakunya penularan sebuah video yang memaparkan percubaan membunuh diri oleh seorang lelaki di pusat membeli belah Suria KLCC, Kuala Lumpur. Video berdurasi selama 35 saat itu menunjukkan lelaki dalam lingkungan usia 40-an sedang berdiri dan mengugut untuk terjun dari tingkat enam bangunan itu apabila didekati orang ramai sebelum berjaya diselamatkan oleh sekumpulan anggota keselamatan dan bomba yang bertugas.

Setelah disoal, ternyata lelaki terbabit mengalami masalah gangguan mental akibat tekanan yang melampau. Namun begitu, kisah mengenai gangguan mental dan cubaan membunuh diri oleh lelaki ini mendapat reaksi yang sangat berbeza dari netizen. Bukan simpati yang diraih malahan kebanyakkan mereka bertindak mengecam perbuatan tersebut melalui status di laman twitter masing-masing.

Tatkala gangguan mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung menjelang 2020 kelak, ternyata masih ada pemikiran yang menganggap penyakit ini hanyalah drama seseorang yang dahagakan perhatian semata-mata.

Realiti Kesihatan Mental

Menurut Kajian Morbiditi Kebangsaan yang terkini, setiap 3 orang dalam 10 orang dewasa berusia lebih 16 tahun menderita pelbagai isu kesihatan mental. Malangnya, masih ramai yang tidak faham mengenai penyakit ini sehingga wujud stigma yang menebal dan membentuk tanggapan negatif terhadapnya.

Tanggapan negatif inilah seringkali menyebabkan pesakit yang menghidapi penyakit mental terus menderita dalam senyap dan enggan mendapatkan rawatan lanjut. Bagi sesetengah kes, ada juga pesakit yang cuba menafikan keadaan kesihatan mereka kerana bimbang dipulaukan masyarakat sekeliling yang menyamakan penyakit kesihatan mental dengan “gila”.

Sebagai seorang penuntut di salah sebuah universiti awam di Malaysia, penulis sendiri merasa sedih apabila melihat isu kesihatan mental ini sering diabaikan oleh sebahagian besar mahasiswa. Tidaklah penulis meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu mahasiwa namun bukankah mereka golongan intelektual yang seharusnya menterjemahkan segala buah fikiran untuk membangunkan masyarakat ke arah yang lebih bersepadu.

Di sinilah kita harus sedar adakah isu-isu yang sewajarnya dititikberatkan benar benar diberi perhatian oleh kita? atau adakah ianya sebagai satu picisan yang tidak membawa makna dan kaitan dengan diri lantas dibiarkan begitu sahaja.

Definisi Kesihatan Mental

Definisi kesihatan secara menyeluruh tidak hanya tertumpu kepada kesihatan fizikal sahaja tetapi turut merangkumi kesihatan mental. Namun begitu, tidak ada garis penentu yang jelas dalam membezakan antara mereka yang mempunyai kesihatan mental yang baik dan mereka yang tidak.

Hal ini berlaku kerana, tahap kesihatan mental kita banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti individu, sosial dan persekitaran dan juga boleh terjejas disebabkan masalah sosio-ekonomi, pertukaran suasana secara mendadak, tekanan di tempat kerja dan penyakit fizikal.

Namun begitu, harus diingat bahawa individu normal selalunya mampu menangani masalah sedemikian sama ada cepat atau lambat. Berbeza dengan individu yang mempunyai penyakit mental di mana sesebuah keadaan mampu menyebabkan fungsi seharian individu itu terjejas sama ada dari segi sosial mahupun kesihatan.

Advokasi Media Sosial

Ekoran kejadian video tular yang tersebar, penulis percaya tulisan kita sememangnya mampu mendatangkan impak kepada sesetengah orang sama ada secara sengaja atau tidak. Walaupun kelihatan remeh, sebenarnya setiap perbuatan atau perkataan kita berkemungkinan memberi impak besar seperti depresi yang dialami khususnya kepada individu yang mempunyai masalah.

 

Penulis tidak mengharapkan mahasiswa kita akan menggerakkan demostrasi atau apa-apa yang memudaratkan mereka bagi menangani isu ini. Cukuplah sekadar permulaan kepada sinar baru, kita mula penuhi media-media sosial kita dengan posting mengenai maklumat, langkah pencegahan serta kesedaran mengenai kesihatan mental. Usaha yang penulis yakin, walaupun sedikit namun mampu dilakukan semua.

Seeloknya kita menggunakan segenap ruang yang ada untuk menghebahkan mengenai perkara ini. Tidak perlu kita berhenti menggunakan laman sosial yang ada, sebaliknya kita memanfaatkan lagi secara keseluruhan dengan memberi isi dan nilai tambah yang lebih matang dan berilmiah.

Kita boleh berubah dan bertindak saat ini, kerana krisis kesihatan mental ini tidak akan berpenghujung malah akan sentiasa bertambah. Oleh demikian, ayuhlah kita bersama memanfaatkan segala platform media sosial yang ada dengan menyebarkan persoalan-persoalan nilai kemanusiaan seperti isu kesihatan mental, supaya akhirnya seluruh masyarakat akan lebih peka dan peduli tentang itu.

 

 

KEMERIAHAN MALAM PERSEMBAHAN PENTAS PESTA TANGLUNG UKM

Disediakan oleh: Wong Jia Ying
Foto: Wong Jia Ying
Disunting oleh: Syarifah Fatin Anisa

BANGI, 24 Nov –Malam Persembahan Pentas Sekretariat Pesta Tanglung UKM anjuran Sekretariat Pesta Tanglung UKM ke – 39 menarik hampir 1,900 orang penonton mewujudkan suasana yang menakjubkan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor.

Sekretariat Pesta Tanglung UKM ke – 39 bergiat aktif dalam memperkenalkan tema “Etiquette” yang persamaan dengan tajuk Malam Persembahan Pentas dalam mengetengahkan isu-isu moral yang yang semakin serius dalam kalangan segenap lapisan masyarakat.

Ketua Pengarah Sekretariat Pesta Tanglung UKM ke – 39, Oh Jun Hong mengatakan bahawa Malam Persembahan Pentas anjuran Sekretariat Pesta Tanglung UKM bagi meningkatkan kesedaran orang awam supaya menitikberatkan isu-isu moral di sekeliling kita.

“Kita seharusnya mengamalkan sikap kesedaran dengan memupuk nilai-nilai moral supaya budaya moral dapat dimartabatkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni, YBhg. Prof. Madya Dr. Roslee Rajikan memuji Sekretariat Pesta Tanglung UKM memainkan peranan dengan mengeratkan hubungan warga kampus dengan usaha menjayakan persembahan pentas yang memiliki medium memupuk toleransi, integrasi dan perpaduan antara kaum selaras dengan tema “Persefahaman Budaya, Asas Keharmonian”.

“Saya berharap agar suasana saling faham memahami, perasaan hormat menghormati antara kaum dapat terus dipupuk dalam kalangan masyarakat. Dan, inilah sebenarnya yang dihasratkan oleh kerajaan kita kerana perpaduan kaum dan integrasi nasional adalah penting untuk menjamin kesejahteraan dan kemakmuran generasi sekarang dan masa hadapan,” katanya ketika berucap.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen kawasan Bangi, YB Dr. Ong Kian Ming selaku perasmi Malam Persembahan Pentas menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama beliau menghadiri aktiviti Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai Timbalan Menteri.

“Saya berasa perasmian Malam Persembahan Pentas Sekretariat Pesta Tanglung UKM kali ini amat bermakna kepada saya kerana ini merupakan kali pertama saya menghadiri aktiviti UKM seletah sebagai seorang Timbalan Menteri walaupun pernah datang ke UKM sebelum ini,” katanya berucap merasmikan Malam Persembahan Pentas Sekretariat Pesta Tanglung.

“Walaupun saya telah menamatkan pengajian saya di UKM, saya masih kembali ke UKM untuk menyokong usaha rakan yang merupakan salah satu pelakon dalam persembaham pentas ini dan ini merupakan kali kedua rakan saya meyertai sebagai pelakon,” kata Chen Zhe Kin, alumni UKM.

“Saya telah memenuhi janji untuk menjadi seorang ahli jawatan kuasa Sekretariat Pesta Tanglung yang saya ingini walaupun saya adalah seorang pelakon persembahan pentas setahun dahulu, kata Tok Gee Ren, Setiausaha Program Pakaian dan Solekan Dalaman.

Selain itu, Pesta Tanglung UKM juga menjadi satu platform untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dan seimbang dalam pelbagai bidang membantu mahasiswa-mahasiswi yang terlibat untuk memperolehi ilmu pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga membina semangat jati diri mereka.

KEUNIKAN TAS TANGAN DEWEY.CO JADI PERHATIAN DI JUALAN INDUSTRI FSSK

Oleh : Naim Redha Mohamad Kamal

 

BANGI, 26 NOV – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) meriah dengan kehadiran sebuah program usahawan iaitu Program Industri FSSK yang diadakan di dataran chow kit FSSK, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pelbagai jenis jualan produk yang ada di sekitar dataran chowkit FSSK seperti alat-alat elektronik untuk telefon pintar, pakaian lelaki dan wanita, kaca mata ,tas tangan , gelang tangan dan banyak lagi.

Dewey.Co antara kedai yang menjual pelbagai jenis tas tangan yang pelbagai bentuk dan corak menarik serta sesuai untuk dipakai oleh setiap lapisan umur tidak kira lelaki mahupun wanita.

Dewey.Co mula ditubuhkan pada tahun 2016 oleh Dewi Nur Safariah Auliya Berahmana selepas dia tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), kerana minat yang terlalu kuat dalam bidang perniagaan dan dia membuat keputusan untuk menjual tas-tas tangan yang unik dengan corak yang pelbagai warna dan ceria.

“Tas tangan kini sebuah produk yang sangat universal, jika ditanya mengapa memilih tas tangan sebagai produk jualan dan jawapan saya adalah kerana produk ini boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat tidak kira umur mahupun jantina dan dari situ saya boleh memperoleh satu sasaran pemasaran yang besar dan kuat”, ujar Dewi Safariah ,22 pengasas Dewey.Co

Selain dari mengadakan jualan di acara-acara jualan yang diadakan di sekitar kampus mahupun di luar, Dewey.Co juga melakukan jualan secara dalam talian seperti di laman sosial Instagram dengan membawa nama “dewey.co”.

Ujarnya lagi, jualan yang dimulakan secara dalam talian juga sangat memberangsangkan sehingga pelanggan yang selalu membeli dengan dia secara dalam talian turut datang ke gerai Dewey.Co di FSSK untuk membelinya secara terus.

Seorang pengunjung lelaki Danish Hedra 22 berkata, tarikan utama tas-tas tangan di Dewey.Co ini adalah tentang keunikan corak dan bentuk yang terdapat pada tas tersebut yang membuat ramai pengunjung datang untuk membeli tas tangan di Dewey.Co.

 

Farah Nasuha 21, pelanggan yang telah dua kali membeli tas tangan di Dewey.Co mengatakan bahawa kualiti tas-tas di Dewey.Co sangat bagus dan tambahan lagi layanan dari tuan punya kedai yang tak lekang dengan senyuman.

Dewi Safariah juga menyatakan hasratnya untuk mengembangkan lagi empayar Dewey.Co selepas tamat sahaja pengajian ijazah di UKM, dan bercadang untuk membina empayar di sekitar kampungnya di Langkawi dan mungkin mempelbagaikan lagi produk dan bukan hanya tas tangan sahaja.