ROSSI MEMINTA MAAF GAGAL RAIH PODIUM

Oleh                  : Anharin  Najwa

Disunting oleh  : Lenny Ho Abd Karim

 

Valencia, 20 Nov – Pelumba asal Itali Valentino Rossi meminta maaf kerana gagal meraih tempat di podium MotoGP Valencia di Litar Ricardo Tormo Ahad lepas.

Mula di posisi ke –16  Rossi meluncur ke hadapan dengan gagah dan sempat memotong sampai posisi ke –2 pada lap ke -14 iaitu di belakang Andrea Dovizioso, pelumba Ducati bernombor 4, namun sayangnya bendera merah dikibarkan beberapa saat kerana trek terlalu basah dan pertandingan dihentikan sementara.

Perlumbaan disambung dengan Rossi melakukan permulaan ulangan di posisi ke -3 dibelakang Dovizioso di posisi ke -2 serta Rins di posisi pertama , setelah lima putaran pelumba terhandal pasukan Movistar Yamaha tersebut mencapai posisi ke -2 dan dugaan menimpanya lalu ia terjatuh pada lima lap terakhir yang membuatnya terhenti di posisi ke 13.

“Saya meminta maaf kerana saya dan pasukan memerlukan podium ini namun saya melakukan kesalahan, tetapi apabila melihat data kami tak tahu kenapa hal ini boleh terjadi”, katanya.

Walau rasa kecewa, “The Doctor” mengakui bahawa siri pamungkas adalah siri terbaiknya kerana ia merasa telah berjuang dan memberikan yang terbaik bagi dia dan pasukan Yamaha.

“Walau bagaimanapun, ini adalah Ahad yang bagus, saya merasa kompetitif meskipun dua  perlumbaan terakhir ini tidak mendapatkan apa – apa, tetapi akhirnya saya dapat meraih kemenangan adalah satu perasaan yang benar – benar hebat ketika berjuang dan mampu meraih kemenangan adalah sesuatu yang positif”, tambahnya.

MotoGP Valencia dikatakan sebagai seri terakhir MotoGP di tahun 2018, hasil klasemen akhir MotoGP tahun 2018 ini dimenangkan oleh M.Marcuez (Honda) dengan 321 poin, A. Dovizioso (Ducati) 245 poin, dan V.Rossi (Yamaha) dengan 198 poin.

Sumber : bola.com, detiksport, CNNIndonesia

GANGGUAN BEKALAN AIR MENJEJASKAN SAMBUTAN DEEPAVALI

Penulis: Wan Ilisiema Nusi

KAJANG, 5 Nov- Gangguan bekalan air menyebabkan sambutan Deepavali bagi masyarakat beragama Hindu yang tinggal di kawasan Taman Sakap, Kajang  ini hambar.

Beberapa kawasan seperti di Taman Sakap 7, Taman Sri Jelok dan Utama dan Jelok Ria di sini mendapati, masalah air membelenggu kira-kira 5,000 penduduk di kawasan perumahan.

Rutin harian penduduk di kawasan berkenaan turut terjejas terutamanya aktiviti perniagaan seperti gerai makan dan pusat mencuci kereta yang terpaksa ditutup sehingga bekalan air pulih seperti biasa.

Seorang penduduk, Kumunalan, 51, berkata, masalah air yang berlaku membuatkan dia segan untuk menjemput abang dan adiknya datang ke rumah meraikan Pesta Cahaya itu.

“Mereka hendak datang tetapi saya terpaksa menolak dan beritahu rumah saya tiada air serta tidak boleh menyediakan hidangan Deepavali. Niat kami untuk berkumpul bersama memandangkan ibu tinggal bersama saya juga tidak kesampaian.

“Saya rasa sengsara kerana masalah ini tidak berkesudahan dan setiap kali bangun tidur perkara utama saya lakukan adalah memeriksa pili air. Ini kali pertama saya sekeluarga menyambut Deepavali tanpa air,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Kata Kumunalan, pihaknya sedih dan marah apabila tidak dimaklumkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Sdn Bhd berkenaan masalah air yang berlaku sehingga tidak bersedia menyimpan air.

Masalah sama turut dirasai Peeya, 28, yang memberitahu persiapan menyambut Deepavali terganggu kerana tidak boleh memasak dan mandi, malah ada yang terpaksa menumpang di rumah saudara.

“Bekalan air ada sehari sebelum Deepavali tetapi tidak lama. Akibat ketiadaan air, kami tidak boleh membuat persiapan dan keadaan ini menyusahkan kami khususnya ada anak kecil di rumah.

“Air simpanan di dalam tangki juga tidak boleh tahan lama. Sebelum ini, kami juga pernah mengalami masalah sama selama seminggu tetapi semakin sukar apabila menjelang sambutan Deepavali,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kumunalan menyimpan air untuk kegunaan pada hari Deepavali keesokannya.

 

Hukuman Mati Dimansuhkan ?

 

Oleh : Lai Sin Dee

Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman mati dan cadangan yang berkaitan dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat. Hal ini menjadi isu yang hangat dan buah mulut dalam kalangan rakyat. Malah, kita mendapati bahawa kebanyakan rakyat membantah pemansuhan ini.

Kebanyakan mereka mengatakan bahawa pemansuhan hukuman mati ini merupakan tindakan yang terburu-buru oleh kerajaan Malaysia. Adakah pemansuhan hukuman mati ini satu tindakan yang terburu-buru tanpa kajian?

Jawapannya: Tidak.

Perjuangan pemansuhan hukuman mati telah bermula sejak tahun 2006, MADPET (Malaysians Against Death Penalty & Torture) telah ditubuhkan dan mereka telah berjuang selama 12 tahun untuk memansuhkan hukuman mati. Pada tahun 2011, satu perbincangan telah dijalankan di mana Menteri pada ketika itu, iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan pembangkang Karpal Singh serta Liew Chin Tong telah mendapat kesefahaman untuk memansuhkan hukuman mati. Selain itu, Parti Gerakan pada tahun 2013 pernah melancarkan kempen tandatangan petisyen untuk mansuhkan hukuman mati bagi mewujudkan kesedaran dalam masyarakat. Pada tahun 2017 pula, Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Datin Paduka Seri Azalina Othman Said mendapat sokongan daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang untuk mansuhkan hukuman mati mandatori bagi jenayah dadah. Jelas di sini bahawa perjuangan memansuhkan hukuman mati merupakan satu usaha yang berterusan sejak tahun 2006.

Kini, Malaysia mengamalkan hukuman mati mandatori bagi sesetengah hukuman, antara contohnya di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB), s.302 Kanun Keseksaan dan s.364 Kanun Keseksaan. Tiada hukuman lain selain hukuman bunuh bagi pesalah yang terlibat dalam hukuman di atas. Bagi yang membantah, antara alasan yang diberikan adalah mereka khuathir bahawa kadar jenayah akan meningkat dan sekiranya hukuman mati dimansuhkan, di manakah keadilan terhadap ahli keluarga mangsa?

Di sinilah kita perlulah merenung wajarkah hukuman yang paling tua di dunia ini dimansuhkan?

Pelbagai kajian telah dijalankan dengan membuat perbandingan antara beberapa negara. Di mana tiada fakta yang kukuh membuktikan bahawa hukuman mati membantu dalam mengurangkan kadar jenayah tetapi di sebaliknya kita boleh lihat bahawa beberapa negara yang telah memansuhkan hukuman mati menunjukkan penurunan dalam kadar kes jenayah contohnya Filipina, Bhutan dan Ukraine. Menurut kajian yang telah dilakukan, New Mexico yang telah menghapuskan hukuman mati pada bulan Mac 2009 kadar kes pembunuhan melonjak pada tahun itu tetapi menurun pada tahun seterusnya sehingga paras yang lebih rendah daripada tahun 2008. Dalam konteks ini, pernyataan “Pemansuhan hukuman mati akan meningkatkan jumlah kes pembunuhan.”, juga kurang tepat.

Manusia mempunyai kelemahan termasuklah peguam dan hakim, hanya Tuhan sahaja yang berhak untuk mengambil nyawa seseorang tetapi bukan manusia. Hukuman mati sebenarnya juga salah satu tindakan yang mencabuli hak kemanusiaan. Satu kajian telah dijalankan oleh I-Cells berkaitan hukuman mati yang turut melibatkan pakar terulung dunia, Profesor Roger Hood dari University of Oxford. “Kajian tersebut juga mendapati wujud risiko sabitan salah menyebabkan hukuman mati dilaksanakan terhadap individu yang tidak bersalah.”

Di Malaysia, terdapat kes di mana orang yang dituduh disabitkan dengan kesalahan bunuh berdasarkan keterangan palsu yang diberikan oleh saksi utama. Walaupun sabitan terhadap tertuduh diketepikan kerana keterangan palsu itu, kes ini menunjukkan orang yang tidak bersalah boleh dikenakan hukuman gantung. Bagi orang yang tidak bersalah tetapi digantung mati, di manakah keadilan untuk mereka?

Justeru itu, wujud risiko tersalah hukum atas orang yang tidak bersalah. Hukuman mati yang telah dilaksanakan tidak dapat diperbalikkan lagi. Oleh itu, saya menyokong insiatif kerajaan bahawa hukuman mati harus dimansuhkan. Saya berpendapat bahawa mekanisma yang paling baik untuk mengurangkan kadar jenayah adalah pendidikan tetapi bukan hukuman mati. Hukuman mati berperanan mengambil nyawa seseorang penjenayah. Akan tetapi, pernahkah masyarakat menilai sebab-sebab mereka melakukan jenayah? Saya percaya bahawa tiada seseorang insan yang dilahir takdir untuk menjadi penjenayah, mestilah wujudnya cerita di sebalik setiap penjenayah dan akhirnya menjejas mereka terlibat dalam jenayah. Sebagai contoh, seseorang yang dilahir di persekitaran yang penuh dengan jenayah dan terjebak dengan najis dadah akhirnya menjadi penjual dadah. Adakah keadaan akan berubah dengan hanya membunuh mereka? Jawapannya, tidak. Oleh itu, bagi membanteras jenayah, kita perlulah terlebih dahulu mengkaji sebab-sebab mereka melakukan jenayah seterusnya mendidik mereka ke arah yang lebih baik. Dalam kata yang lain, hukuman bunuh semata-mata tidak akan mengubah keadaan tetapi kita perlulah mengenal pasti masalah sosial yang sebenar dan menjalankan perubahan atasnya melalui pendidikan.