KEMERIAHAN PESTA CAHAYA DISAMBUT OLEH BERBILANG KAUM

Oleh : Lai Sin Dee

Disunting oleh : Anis Nabila Khidir

Butterworth, 6 Nov 2018 –Seramai 2000 orang berbilang kaum telah mengunjungi Sri Muniswarar Temple tahun ini untuk menyambut Hari Deepavali di mana bilangan tersebut telah mencapai sasaran yang dianggarkan.

Sri Muniswarar Temple merupakan kuil yang terkenal di Malaysia lebih daripada 100 tahun dan telah menarik ramai pengunjung setiap tahun sempena Hari Deepavali. Upacara Hindu Festival seperti upacara sembahyang (special prayers) akan diadakan di mana penyembah akan memohon rahmat dari Tuhan.

Yvonne Chan, 38, berbangsa Cina dari Bukit Mertajam turut sembahyang di kuil ini menyatakan bahawa dia telah dimaklumkan upacara pencahayaan ini akan mendatangkan berkat. Oleh itu, dia juga sembahyang untuk memeriahkan Pesta Cahaya ini.

Mahalakshmi A/P Kanthanthebar,18 dari Johor mengunjungi kuil dengan keluarga. Mereka sekeluarga datang menyambut Deepavali di kuil ini jauh dari Johor. Walaupun jauh, tapi mereka sekeluarga amat gembira untuk mendapatkan doa keluarga daripada Tuhan pada Hari Deepavali.

Naliani A/P Nadarajah, 30 berkata bahawa dia mengunjungi kuil ini sebab kawan yang memperkenalkan kepadanya. Dia telah mengunjungi kuil ini 3 kali ketika menyambut Hari Deepavali jadi sambutan Hari Deepavali di kuil ini telah menjadi satu tabiat setiap tahun. “ Walaubagaimanapun, sambutan Deepavali macam ini agak letih sebab bergerak dari Johor ke sini.”, katanya.

77 ORANG CALON BERTANDING DALAM PILIHAN RAYA KAMPUS SIDANG 2018/2019

Oleh : Lai Sin Dee                                                           

Bangi, 4 Okt 2018 – Seramai 77 orang mahasiswa/i telah berjaya mendaftarkan diri dalam Majlis Penamaan Calon untuk Pilihan Raya Kampus yang telah dianjurkan di Pusanika Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pilihan raya kampus kali ini mempunyai jumlah sebanyak tiga puluh sembilan kerusi iaitu dua belas kerusi umum dan dua puluh tujuh kerusi fakulti.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Haji Roslee Rajikan menyatakan bahawa parti-parti di dalam kampus tidak digalakkan maka mahasiswa sepatutnya bertanding secara individu. Hal yang demikian kerana universiti hendak memupuk pelajar lebih berdikari dalam memperjuangkan pendapat masing-masing untuk menjadi wakil pelajar. Pada masa yang sama, mereka akan bersama rakan-rakan yang berpandangan sama dengan mereka.

“ Bagi mereka yang memenangi pemilihan kuasa perwakilan pelajar ini, saya harap akan terus menjaga nama baik universiti, terus membuat program-program yang boleh menaikkan universiti dan menjaga kebajikan mahasiswa/i di UKM. Pihak universiti sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan mahasiswa/i. Menurut beliau, jika terlibat dalam proses pentadbiran universiti seperti jawatankuasa, pihak universiti juga akan membuka ruang yang sesuai kepada mahasiswa.

Salah seorang calon Khairul Azhar Bin Kamaruzaman berkata harapan dia terhadap pilihan raya kampus kali ini adalah dijalankan secara adil dan mahasiswa juga dapat turun mengundi bagi memeriahkan pesta demokrasi ini.

Muhammad Zulhelmi Bin Sidek dari fakulti pendidikan Islam, calon penamaan MPP berpendapat bahawa  harapan terhadap pilihan raya ini adalah parti-parti yang terlibat dapat bertanding secara adil tanpa menjatuhkan antara satu sama lain. Maka, segala keputusan akhir dapat diterima semua tanpa ada perbalahan.

Menurut Ariff Mu’azzam Bin Abd Halim seorang mahasiswa daripada fakulti pendidikan berharap bahawa calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya kampus ini akan bersaing secara sihat dan menyokong antara satu sama lain.

SURAT MENYATUKAN ANAK NEGERI

Oleh : Ilmi Safina

Editor : Nur Shafika

BANGI, 15 Dis- Program Sukan Rakyat Tradisional (SURAT) yang bertujuan untuk menghidupkan kembali sukan tradisional selain merapatkan hubungan kesemua anak negeri telah diadakan di Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program selama satu hari ini adalah anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) dan setiap ahli Majlis Tertingggi (MT) serta Ahli Jawatankuasa (AJK) terdiri dari anak negeri lain yang bekerjasama mengadakan pelbagai jenis permainan tradisional.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana walaupun pertama kali program sebegini diadakan namun setiap anak negeri turun padang bagi sama-sama menyatakan sokongan,” ujar Pengarah Program, Amir Muslim, 21.

Menurut beliau, antara keunikan program ini adalah para peserta dapat mengenali dan bermain permainan tradisional kerana selama ini anak muda hanya terdedah dengan permainan moden.

Sementara itu, AJK permainan galah panjang, Fakhrul Syakirin, 22, berkata beliau dan ahli yang lain telah melakukan simulasi bagi permainan tersebut bagi memastikan permainan berjalan dengan lancar dan adil.

“Ini adalah pengalaman baru bagi saya kerana sebelum ini saya tidak mengetahui mengenai peraturan permainan dan cara mencatat markah bagi permainan galah panjang,” tambah beliau.

Peserta acara baling selipar, Intan Nur Fatin, 20, pula melahirkan rasa seronok kerana dapat turut serta dalam program tersebut.

“Bagi saya, program sebegini sememangnya wajar diteruskan pada masa hadapan kerana bukan sahaja dapat mengimbau kenangan semasa zaman kanak-kanak malah dapat memupuk semangat kerjasama sesama anak negeri bagi memenangi perlawanan,” kata beliau.

Pelajar jurusan Geografi, Hazirah Sharnuddin pula menyatakan rasa teruja melihat acara galah panjang yang dipertandingkan.

“Saya hadir ke sini bagi melihat acara galah panjang kerana tidak ramai orang tahu bermainnya dan sememangnya ia adalah antara sukan tradisional yang paling saya gemari,” ujar beliau.

Antara permainan tradisional yang telah dipertandingkan dalam program ini adalah ceper, galah panjang, batu seremban, tarik tali dan bermain bola sepak dengan kain pelikat.