LATIHAN MENEMBAK PLATFORM MELAHIRKAN BAKAL “MARKSMAN” PALAPES TD UKM

Oleh : Muhammad Zakwan Egar

Lapang Sasar Jugra, 6 Nov 18 – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan PALAPES UKM telah menganjurkan satu latihan menembak di Lapang Sasar Jugra Selangor. Latihan turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Haji Mohd Ekhwan bin Haji Toriman, dan Pengarah Pusat Kesatria, Prof. Madya Dr. Norinsan Bin Kamil.

Latihan menembak ini merupakan salah satu latihan berterusan buat para pegawai kadet setiap peringkat bagi memastikan setiap daripada mereka berpengetahuan dan mahir dalam menggunakan senjata api.

Latihan ini juga dijalankan bagi memantapkan lagi “skill” menembak pegawai kadet agar menjadi seorang “marksman” yang handal menembak di masa akan datang.

Ucapan daripada TNC HEPI turut menyatakan bahawa Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-39 pada tahun 2020 akan menjadi salah satu program yang paling utama sekali di Universiti Kebangsaan Malaysia kerana UKM merupakan tuan rumah bagi melaksanakan Istiadat Pentauliahan Diraja sempena sambutan jubli emas UKM yang ke-50.

“Menjelang tahun 2020, Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet akan menjadi salah satu acara terpenting UKM sempena 50 tahun UKM” katanya.

Pertandingan menembak jatuh piring telah diadakan pada akhir latihan menembak di mana pertandingan tersebut telah di menangi oleh kumpulan Pegawai Waran II, Encik Azali bin Abdul Hadi.

 

 

LANGKAH PERWIRA PEMUPUK KERJASAMA JITU PEGAWAI KADET PALAPES UKM

 

Oleh : Muhammad Zakwan Egar

Kuala Pilah, 5 Nov 18 – Seramai 50 orang Pegawai Kadet dari peringkat senior telah menjalani latihan berterusan yang dikenali sebagai Latihan Langkah Perwira, iaitu pendakian ke Gunung Angsi yang terletak di Tanjung Ipoh di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan setinggi 825 meter (2,702 kaki).

Sebanyak 7 sindiket di pecahkan di mana setiap sindiket berkekuatan seramai 9 orang ahli termasuk seorang Pegawai Muda berpangkat Leftenan Muda ditugaskan sebagai penjaga dan pemantau setiap ahlinya.

Pendakian bermula seawal jam 9.00 pagi bermula di laluan Bukit Putus, dan berakhir di laluan Ulu Bendol. Setiap sindiket di lepaskan satu persatu dan masa turut di kira bagi menilai sindiket yang terpantas menamatkan misi Langkah Perwira mendaki dan menuruni Gunung Angsi.

Boleh di katakan semasa pendakian adalah amat lancar dan tiada sebarang masalah bagi setiap sindiket kerana laluan Bukit Putus merupakan laluan pendakian yang amat mudah di lalui jika dibandingkan dengan laluan Ulu Bendol.

Laluan Ulu Bendol merupakan laluan yang sangat berbeza dan sangat ekstrem jika dibandingkan dengan laluan Bukit Putus. Setiap laluan begitu licin, curam serta menghadkan pergerakan.

Pegawai Rendah Muda Muhamad Thabrani Bin Mohamad Sharudin, 22, ketika ditemubual berkata, “setiap pegawai kadet siap dengan berpakaian lengkap medan beserta “bagpack” yang berisi “FSMO (Full Service Marching Order)”.

 Tambahnya lagi, “persiapan awal yang dilakukan oleh pegawai kadet palapes sebelum mendaki Gunung Angsi ialah dengan melaksanakan persiapan fizikal seperti latihan-latihan yang melibatkan penambahbaikan stamina dan kecergasan tubuh badan sebelum menjalani latihan langkah perwira ini”.

Jelas, pengalaman mendaki dan menuruni Gunung Angsi memberikan pengalaman yang amat luar biasa buat 50 pegawai kadet dari peringkat senior yang terlibat termasuk para pegawai muda.

Gunung Angsi sememangnya di antara gunung-gunung yang terkenal di Negeri Sembilan dan sering dijadikan sebagai sebuah lokasi latihan bagi mereka yang gemar akan aktivi lasak mendaki gunung. Berdasarkan sumber laman web Malaysia Mountains, Gunung Angsi dikatakan gunung ke-241 yang tertinggi di Malaysia.

WARNA WARNI MALAM MENTION 2018

Oleh : Nur Afiqah Afrizil

Di sunting oleh : Wong Jia Ying

NILAI, 15 Dis – Malam Perdana Mention 2018 yang telah diadakan di Rymba Haven, Nilai baru-baru ini ternyata telah mendapat banyak respon yang positif daripada para pensyarah, pelajar-pelajar serta Alumni Program Komunikasi Media, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Antara respon positif yang diterima adalah makanan lazat serta dekorasi yang sangat cantik dan ianya terbukti apabila ramai tetamu yang sanggup beratur untuk mengambil gambar di photobooth yang telah disediakan. Selain itu, Malam Perdana Mention 2018 juga membawa kelainan di mana Rymba Haven tersebut menyediakan pentas yang berlantaikan kolam air pancut yang dihiasi dengan lampu yang memeriahkan lagi suasana pada malam tersebut.

Malam Perdana Mention 2018 yang bertemakan Funktion Night 2018 adalah sebuah Majlis Makan Malam telah dianjurkan oleh pelajar-pelajar tahun dua di bawah Pusat Komunikasi dan Masyarakat Digital yang merupakan salah satu usaha untuk merapatkan hubungan silaturrahim seluruh warga Komunikasi Media.

Menurut Ketua Pengarah Malam Perdana Mention 2018, Muhammad Amin Hazlan, Malam Perdana Mention 2018 telah berlangsung dengan jayanya mengikut apa yang dirancang dan makanan juga mencukupi untuk para hadirin yang datang pada malam tersebut.

Colour blocking yang dijadikan tema ketika majlis tersebut merupakan idea daripada pihak AJK yang bertujuan untuk mewujudkan ‘vibes’ yang berwarna-warni dalam dinner Mention pada kali ini dan secara kasarnya sekitar 200 orang yang telah menghadiri Malam Perdana Mention 2018 pada malam tersebut”.

Menurut pelajar tahun dua Program Komunikasi Media, Afifa Syahirah Baharudin berkata majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran pensyarah yang turut memakai pakaian mengikut tema colour blocking serta photobooth yang menjadi tarikan utama buat tetamu yang hadir malam itu.

“Saya sangat menikmati majlis makan malam and saya suka melihat bagaimana tetamu yang hadir menceriakan lagi majlis tersebut dengan fesyen-fesyen yang ditonjolkan oleh mereka. Saya juga tertarik  kepada dekorasi yang berwarna-warni dan ada permainan yang disediakan untuk para tetamu yang hadir pada malam itu”.

“Malam Perdana Mention 2018 boleh dijadikan sebagai memori yang berharga untuk semua pelajar-pelajar Komunikasi Media terutama sekali buat pelajar-pelajar tahun akhir yang bakal menjejaki dunia baharu di mana mereka akan menjalani latihan industri pada tahun hadapan”, kata pelajar tahun akhir Komunikasi Media, Ilya Syiqreen Anuar.

Malam Perdana Mention 2018 yang dirasmikan oleh Pengerusi Pusat Komunikasi dan Masyarakat Digital, Prof. Madya. Dr Mohd Nor Shahizan Ali telah diakhiri dengan bermandikan cahaya bunga api sebagai tanda terima kasih kepada tetamu yang datang semasa majlis tersebut.