PENDIDIKAN SEKS TIDAK FORMAL MASIH TABU DI MALAYSIA? Oleh : Ilmi Safina

 

“Jangan takut jika terlanjur,” itu petikan kata-kata dari Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung kes seorang remaja perempuan yang dilaporkan meninggal dunia ketika melahirkan bayi lelaki di tandas rumahnya. Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Fiqh dan Muzakarah keempat di Institut Sosial Malaysia juga menyeru agar remaja yang sudah melakukan kesilapan dalam hidup mencari pertolongan dan tidak berasa keseorangan.

Semua kisah di atas berkongsi satu perasaan yang sama iaitu takut. Takut cemuhan jiran tetangga apabila melihat perut semakin membesar dan takut dibuang keluarga jika ahli keluarga mengetahui tentang kesilapan yang telah dilakukan. Berdasarkan penelitian yang telah dilakukan oleh ahli psikologi, John Muller mendapati bahawa peserta dengan taraf kecemasan yang tinggi, mempunyai kecenderungan untuk menggunakan strategi yang kurang baik ketika memproses maklumat.

Apa itu pendidikan seks tidak formal?

Pendidikan seks dalam kurikulum sekolah masih hangat diperdebatkan dalam kalangan guru-guru dan dikatakan tidak bersifat komprehensif namun harus diingat bahawa didikan awal seorang anak bermula di rumah. Bagaimana pula dengan anak-anak yang tidak pergi ke sekolah? Persoalannya, adakah pendidikan seks secara tidak formal di Malaysia masih bersifat tabu? Fokus kita ialah adakah ibu bapa dan masyarakat di Malaysia masih hidup dalam kepompong ‘shyness community’ yang menganggap pendidikan seks sama sekali dilarang dibincangkan di rumah?

Dalam sebuah video Let’s (Not) Talk About Sex, terdapat paparan kajian yang dilakukan oleh Pakar Perunding Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Sheila Marimuthu dan hasilnya mendapati bahawa 75% dari 3,000 pesakit yang dirujuk kepada beliau tidak tahu cara yang tepat untuk mencegah diri dari hamil dan rata-rata pesakit ini adalah di bawah umur serta menjadi mangsa jenayah seksual. Ternyata pendidikan seks secara tidak formal di Malaysia masih berada di takuk lama. Justeru, anjakan paradigma harus diimplementasikan supaya gejala pembuangan bayi di negara ini dapat diminimakan.

Sebab pendidikan seks tidak formal penting

Para ibu bapa harus membuang rasa kekok untuk mengajarkan anak-anak mengenai pendidikan seks di rumah dengan hikmah. Ajar mereka tentang pencegahan kehamilan seperti penggunaan kondom, pil perancang, cara kiraan waktu subur dan sebagainya. Bukanlah ini bermakna kita menggalakkan mereka mengadakan hubungan seks namun di sini kita cuba tekankan cara mengelak kehamilan tidak diingini kerana bukan semua anak-anak yang mengandung luar nikah adalah disebabkan melakukan seks secara suka sama suka. Terdapat juga kes di mana anak-anak ini dirogol dan tidak tahu apa yang perlu dibuat bagi mengekang permasalahan yang lebih besar. Oleh itu, mangsa jenayah seksual ini berasa tertekan kerana risau akan hamil dan lebih parah tekanan yang tidak dikawal boleh menyebabkan mereka berasa mahu membunuh diri.

Selain itu, pendidikan seks yang diajar secara tidak formal juga penting untuk kehidupan berumahtangga. Apabila anak-anak remaja sudah diajar oleh ibu bapa di rumah mengenai pendidikan seks, maka setelah mereka berumahtangga kelak, mereka akan bijak membuat perancangan keluarga. Bayangkan hidup di ibu kota di mana pendapatan di bawah RM 3000 masih diklasifikasikan sebagai miskin bandar.  Kemudian, pasangan tersebut hanya mampu mendiami perumahan kos rendah yang memiliki 3 bilik tidur sahaja. Akan tetapi disebabkan kurangnya ilmu pendidikan seks, anak-anak seramai 7 orang terpaksa berhimpit di sebuah rumah yang kecil. Sudahlah ditekan dengan kos sara hidup yang semakin menggila, persekitaran rumah yang tidak kondusif juga boleh memberi tekanan hebat kepada keluarga tersebut.

Seterusnya, ibu bapa dan mereka yang lebih dewasa juga harus bersifat terbuka untuk mengajarkan anak-anak agar berani berkata ‘tidak’ apabila ada individu cuba memegang bahagian privasi. Sememangnya dalam silibus subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) ada menyentuh mengenai perkara ini. Tetapi itu hanyalah secara teori di atas sehelai kertas bisu. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak secara bersemuka terutamanya anak yang kecil supaya mereka terhindar dari ancaman pedofilia.

Kesimpulannya, pendidikan seks secara tidak formal di Malaysia haruslah dilakukan penambahbaikan. Kempen kesedaran mengenai kepentingan pendidikan seks di rumah harus digiatkan supaya stigma tabu masyarakat mengenai perkara ini dapat dipecahkan. Ibu bapa dan masyarakat sekeliling amat memainkan peranan besar dalam memastikan anak-anak terselamat dari kebejatan gejala sosial.

ASAL USUL PAPAN SELAJU ATAU SKATEBOARD

Oleh Lenny Ho Bin Abd Karim

Pada sekitar 1920an, sebuah alat besi beroda tiga yang boleh dipijak dan digerakkan
dengan kaki telah dicipta. Alat ini disertakan dengan alat pemegang seperti kayu ski ais.
Kemudian pada tahun 1939, skuter yang mempunyai roda bearing telah dicipta daripada
bakul menyimpan buah oren dan kepingan papan dengan ukuran 4×24’. Tahun 1958
menyaksikan papan selaju diperbuat daripada kasut roda yang dicantumkan dengan
papan. Pada tahun tersebut juga di California dan Hawaii, sukan luncur air semakin
menjadi popular dan papan selaju menjadi alternatif kepada para penggemar sukan
tersebut untuk meluncur di jalanan apabila tiada ombak besar di pantai.

“Roller Derby” kemudiannya menghasilkan papan selaju dalam bilangan kuantiti
yang banyak dengan roda besi dan beberapa pengubahsuaian teknikal. Pemain papan
selaju ketika itu juga mula memperbaiki dan memperkembangkan trick mereka serta
mencipta gaya dan cara pengawalan papan selaju yang baharu. Permainan papan selaju
mula menjadi semakin popular pada tahun 1960an di Amerika Syarikat dan
pertandingan papan selaju pertama telah dianjurkan di Pantai Hermosa, California pada
tahun 1963 dimana teknik-teknik baharu seperti slalom atau freestyle mula diterokai.
Namun begitu, pemainan papan selaju ini mula tenggelam dan merudum sekitar
tahun 1965. Banyak syarikat papan selaju gulung tikar sehinggakan para penggemarnya
perlu menghasilkan papan selaju mereka dengan sendiri. Ada yang mendakwa ianya
berlaku kerana sukan ini berbahaya dan menyebabkan kecederaan yang teruk kerana
pemainan ini amatlah bahaya dan berisiko tinggi seperti yang dikata oleh Borden (2001),
Street-games and street pursuits such as skateboarding, rollerblading and free running
have been held up as exemplary of forms of escapism and risky playfulness sug- gestive
of streetlife. Namun begitu, penggerak dan aktivis papan selaju pada ketika itu tetap
berusaha gigih memastikan kelangsungan permainan tersebut dan akhirnya permainan
papan selaju kembali ‘hidup’ apabila industri pakaian dan kasut mula mengasosiasikan
jenama mereka bersama permainan papan selaju tersebut. Syarikat seperti The Van

Doren Rubber Company atau lebih dikenali sebagai Vans pada hari ini turut berkembang
seiring populariti jenama Etnies, Converse dan DC Shoes.
Pada tahun 1975, pertandingan slalom dan freestyle telah diadakan di Del Mar,
California. Pasukan ‘Zephyr’ juga dikenali sebagai Z-Boys yang dianggotai oleh Tony Alva,
Jay Adams, dan Stacy Peralta telah menampilkan aksi yang amat luar biasa dan
mengejutkan semua pihak. Sejak hari itu pemainan papan selaju menjadi semakin
rancak. Filem-filem yang berkaitan dengan papan selaju seperti Lords of Dog Town dan
Spinnin’ Wheels mula dihasilkan dan semakin banyak syarikat berlumba-lumba untuk
menjadikan pemainan ini sebagai sebahagian daripada produk perniagaan mereka.

Sekitar tahun 1976-1978, California dilanda kemarau dan telah menyebabkan ramai
pemilik kolam mengeringkan kolam renang rumah mereka. Kolam renang mula dilihat
sebagai wilayah baharu yang mesti ditawan oleh penggemar pemainan papan selaju.
Pada tahun 1976, outdoor skate park yang pertama telah dibina di Florida,
menyebabkan pemainan papan selaju ini mula dimainkan secara vertical (terbang di
udara) berbanding horizontal iaitu diatas jalan rata.

Di Malaysia, permainan papan selaju telah mula bertapak semenjak tahun 1970an.
Pada ketika itu terdapat satu karya lukisan kartun yang bertajuk Lat In Arizona oleh
Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat) yang menunjukkan watak kanak-kanak sedang
bermain papan selaju. Selain itu, watak kartun Fifo Dido dalam iklan 7Up yang
menggunakan papan selaju juga turut menyumbang dalam memberi pendedahan awal
dan menyuburkan minat masyarakat Malaysia terhadap permainan papan selaju ini.

Pada tahun 1993, satu pertanding papan selaju peringkat kebangsaan telah
diadakan iaitu Isetan Skateboarding Championship di Kuala Lumpur. Pertandingan ini
telah melahirkan dua bintang yang semakin dikenali ramai hingga ke hari ini iaitu Joe
Ipoh (Johari Fitry Khairuddin) dan Pa’din Musa (Ahmad Fadzli Musa). Joe Ipoh dan Pa’din
kemudiannya muncul selaku aktivis dan penggerak pemainan papan selaju paling
berpengaruh di Malaysia.

KESIHATAN MENTAL DAN DI MANA KITA?

Oleh : Yasminjannah Mohd Redzuan

Disunting Oleh : Lai Sin Dee

Baru-baru ini, media sosial menjadi kecoh dengan berlakunya penularan sebuah video yang memaparkan percubaan membunuh diri oleh seorang lelaki di pusat membeli belah Suria KLCC, Kuala Lumpur. Video berdurasi selama 35 saat itu menunjukkan lelaki dalam lingkungan usia 40-an sedang berdiri dan mengugut untuk terjun dari tingkat enam bangunan itu apabila didekati orang ramai sebelum berjaya diselamatkan oleh sekumpulan anggota keselamatan dan bomba yang bertugas.

Setelah disoal, ternyata lelaki terbabit mengalami masalah gangguan mental akibat tekanan yang melampau. Namun begitu, kisah mengenai gangguan mental dan cubaan membunuh diri oleh lelaki ini mendapat reaksi yang sangat berbeza dari netizen. Bukan simpati yang diraih malahan kebanyakkan mereka bertindak mengecam perbuatan tersebut melalui status di laman twitter masing-masing.

Tatkala gangguan mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung menjelang 2020 kelak, ternyata masih ada pemikiran yang menganggap penyakit ini hanyalah drama seseorang yang dahagakan perhatian semata-mata.

Realiti Kesihatan Mental

Menurut Kajian Morbiditi Kebangsaan yang terkini, setiap 3 orang dalam 10 orang dewasa berusia lebih 16 tahun menderita pelbagai isu kesihatan mental. Malangnya, masih ramai yang tidak faham mengenai penyakit ini sehingga wujud stigma yang menebal dan membentuk tanggapan negatif terhadapnya.

Tanggapan negatif inilah seringkali menyebabkan pesakit yang menghidapi penyakit mental terus menderita dalam senyap dan enggan mendapatkan rawatan lanjut. Bagi sesetengah kes, ada juga pesakit yang cuba menafikan keadaan kesihatan mereka kerana bimbang dipulaukan masyarakat sekeliling yang menyamakan penyakit kesihatan mental dengan “gila”.

Sebagai seorang penuntut di salah sebuah universiti awam di Malaysia, penulis sendiri merasa sedih apabila melihat isu kesihatan mental ini sering diabaikan oleh sebahagian besar mahasiswa. Tidaklah penulis meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu mahasiwa namun bukankah mereka golongan intelektual yang seharusnya menterjemahkan segala buah fikiran untuk membangunkan masyarakat ke arah yang lebih bersepadu.

Di sinilah kita harus sedar adakah isu-isu yang sewajarnya dititikberatkan benar benar diberi perhatian oleh kita? atau adakah ianya sebagai satu picisan yang tidak membawa makna dan kaitan dengan diri lantas dibiarkan begitu sahaja.

Definisi Kesihatan Mental

Definisi kesihatan secara menyeluruh tidak hanya tertumpu kepada kesihatan fizikal sahaja tetapi turut merangkumi kesihatan mental. Namun begitu, tidak ada garis penentu yang jelas dalam membezakan antara mereka yang mempunyai kesihatan mental yang baik dan mereka yang tidak.

Hal ini berlaku kerana, tahap kesihatan mental kita banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti individu, sosial dan persekitaran dan juga boleh terjejas disebabkan masalah sosio-ekonomi, pertukaran suasana secara mendadak, tekanan di tempat kerja dan penyakit fizikal.

Namun begitu, harus diingat bahawa individu normal selalunya mampu menangani masalah sedemikian sama ada cepat atau lambat. Berbeza dengan individu yang mempunyai penyakit mental di mana sesebuah keadaan mampu menyebabkan fungsi seharian individu itu terjejas sama ada dari segi sosial mahupun kesihatan.

Advokasi Media Sosial

Ekoran kejadian video tular yang tersebar, penulis percaya tulisan kita sememangnya mampu mendatangkan impak kepada sesetengah orang sama ada secara sengaja atau tidak. Walaupun kelihatan remeh, sebenarnya setiap perbuatan atau perkataan kita berkemungkinan memberi impak besar seperti depresi yang dialami khususnya kepada individu yang mempunyai masalah.

 

Penulis tidak mengharapkan mahasiswa kita akan menggerakkan demostrasi atau apa-apa yang memudaratkan mereka bagi menangani isu ini. Cukuplah sekadar permulaan kepada sinar baru, kita mula penuhi media-media sosial kita dengan posting mengenai maklumat, langkah pencegahan serta kesedaran mengenai kesihatan mental. Usaha yang penulis yakin, walaupun sedikit namun mampu dilakukan semua.

Seeloknya kita menggunakan segenap ruang yang ada untuk menghebahkan mengenai perkara ini. Tidak perlu kita berhenti menggunakan laman sosial yang ada, sebaliknya kita memanfaatkan lagi secara keseluruhan dengan memberi isi dan nilai tambah yang lebih matang dan berilmiah.

Kita boleh berubah dan bertindak saat ini, kerana krisis kesihatan mental ini tidak akan berpenghujung malah akan sentiasa bertambah. Oleh demikian, ayuhlah kita bersama memanfaatkan segala platform media sosial yang ada dengan menyebarkan persoalan-persoalan nilai kemanusiaan seperti isu kesihatan mental, supaya akhirnya seluruh masyarakat akan lebih peka dan peduli tentang itu.