E-SPORTS DALAM SILIBUS PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Oleh: Nur Shafika AB

 

Kuala Lumpur, 18 Dis – Debat Awani telah berlangsung pada Ahad lalu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dengan menampilkan ahli UiTM memberi hujah mereka mengenai e-sports atau sukan elektronik yang menjadi kegilaan masyarakat kini.

 

Menarik perhatian seorang pelajar UiTM yang juga merupakan pemain permainan video, Syahira Ruslan, berpendapat bahawa salah satu cara untuk membangunkan e-sports adalah dengan melibatkan e-sports dalam silibus pendidikan.

 

Tambahnya, “dengan bajet yang diberi oleh kerajaan sebanyak RM10 juta khas kepada e-sports, kita mampu untuk membantu masalah ketagihan permainan video dalam masyarakat.”

 

Hal ini pernah diulas oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan pada Februari lalu sewaktu melawat sekolah pertama di Indonesia yang telah menjadikan e-sports sebagai salah sebuah subjek pembelajaran di sana.

 

Beliau berkata, “Kementerian Pendidikan sedang mempertimbangkan untuk menjadikan e-sports sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran.

 

“Saya dimaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merancang dan menyediakan modul yang akan dibawa kepada kementerian kami dan saya percaya sukatan pembelajaran perlu menjadi sesuatu yang boleh diubah dan ditambahbaik mengikut perubahan masa,” ujar beliau sewaktu ditanya mengenai hal tersebut.

 

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan untuk membangunkan sebuah stadium e-sports pertama di Malaysia dan mengharapkan Malaysia bakal menjadi gergasi bagi hab e-sports di rantau ASEAN satu hari nanti.