“INI TIDAK ADIL BAGI SAYA”

OLEH: CYNTHIA MAHENDRAN

 

KUALA LUMPUR, 28 Okt 2018— Gara-gara tidak tahan menjawab soalan panas, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak betindak meninggalkan sesi wawancara bersama Al Jazeera dalam program 101 East yang mana beliau telah menggangap sebagai tidak adil baginya.

Najib berkata soalan yang dikemukakan oleh pengacara Mary Ann Jolley  seolah-olahnya ingin menyatakan bahawa beliau terlibat dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu kematian model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Mary Ann Jolley merupakan wartawan bebas yang pernah dihalau dari negara ini pada tahun 14 Jun 2014 kerana cuba untuk menemubual Najib mengenai pembunuhan Altantuya ketika pemerintahannya.

Bekas Presiden UMNO “mengugut” untuk keluar dan meninggalkan set wawancara itu selagi Mary Ann tidak teruskan temubual dengan berbicara mengikuti apa yang telah dipersetujui iaitu ekonomi negara dan legasinya.

“Boleh kita ke ekonomi? Kita sudah habiskan banyak masa, sebaliknya saya akan pergi dari sini. Cukup, cukup, tolong… cukup,” katanya ketika diminta duduk bagi meneruskan soal jawab itu.

Setelah Najib “dipujuk”, wawancara tersebut diteruskan dengan soalan mengenai legasinya. Namun soal jawab itu bertahan beberapa saat sahaja dan disambung lagi dengan persoalan berkenaan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MBD.

Najib sekali lagi bangun dan memberi amaran akan keluar meninggalkan sesi itu. Namun Mary Ann tegas untuk meneruskan soalannya.

Rakaman video wawancara ini telah ditular di media sosial dan dapat dilihat ramai netizen yang mengutuk bekas Perdana Menteri kita.

 

Seorang netizen di Twitter mengatakan “lakonan” Najib mengalahkan pelakon yang dilatih untuk memainkan watak Shakespeare. Seorang lagi netizen berpandangan jika Najib benar-benar tidak bersalah, dia tidak seharusnya berasa terugut dengan soalan yang dilontarkan kepadanya.

Ramai netizen juga kagum dengan keberanian Mary Ann dalam temubual tersebut. Namun terdapat juga netizen yang berpendapat bahawa dia tidak menepati janjinya dan seharusnya berbicara hanya tentang agenda yang telah dipersetujui.