KEMERIAHAN KARNIVAL MEGA JOHOR 2018

 

Oleh : Ilmi Safina

Editor : Wong Jia Ying

BANGI, 8 Nov- Karnival Mega Johor yang dianjurkan oleh Majlis Anak Johor Universti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya di Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program yang mendapat kerjasama dari Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Sekreteriat Anak Johor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Persatuan Mahasiswa Anak Johor UKM (PERMAJ) ini adalah antara salah satu aktiviti yang dianjurkan sempena Minggu Siswa Johor 2018 serta UKM telah menjadi tuan rumah bagi menghimpunkan semua anak Johor di seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.

“Melalui program besar sebegini, semua anak Johor yang sedang menuntut di IPT dapat berkumpul beramai-ramai dan saling berkenalan bagi mengeratkan lagi tali silaturahim,” ujar Setiausaha Minggu Siswa Johor, Ezrizal Amin.

Menurut salah seorang penyelaras Karnival Mega Johor, Siti Idayu, 22, maklum balas yang diterima dari pengunjung sangat positif kerana karnival ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai jualan makanan dan beliau sangat berharap agar program sebegini ditambahbaik lagi pada masa akan datang.

“Jika boleh, saya mencadangkan supaya pihak penganjur menjemput anak Johor yang sedang menuntut di luar negara untuk sama-sama berkumpul dan meraikan program ini,” tambah beliau.

Kenyataan sama turut disokong oleh salah seorang pengunjung, Nurul Izzate Wahab, 22 yang amat berharap agar Minggu Siswa Johor menjadi acara tahunan.

“Walaupun karnival ini diurus dan dianjurkan oleh UPSI, namun UKM sudi menjadi tuan rumah dan ini menunjukkan program sebegini mampu meningkatkan semangat kerjasama dari anak Johor di seluruh IPT,” kata beliau.

Seorang lagi pengunjung yang ditemui, Nur Syuhada, 21, juga menyatakan perasaaan seronok untuk terlibat sama dalam program besar sebegitu.

“Meskipun saya berasal dari negeri Pahang namun saya turut memberi sokongan kepada program sebegini kerana bagi saya PERMAJ UKM merupakan antara salah sebuah persatuan anak negeri yang aktif.

Minggu Siswa Johor 2018 ini telah berlangsung selama 3 hari di sekitar UKM dan majlis perasmiannya telah dihadiri oleh seramai 569 warga Johor.