“KFC MEMBUKTIKAN SST TIDAK TELUS” – NAJIB RAZAK

Oleh: Nur Shafika AB

 

KUALA LUMPUR 27 Dis- Kentucky Fried Chicken (KFC) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah melakukan sedikit perubahan pada harga jualan ayam KFC yang dipercayai meningkat gara-gara cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dimasukkan sebanyak 6%.

 

Harga menu popular di KFC iaitu Snack Plate yang sebelum ini berharga RM 12.30 telah meningkat kepada RM 15.30 manakala harga Dinner Plate yang dahulunya RM15.60 meningkat sebanyak RM 4.00 satu set.

 

Najib Razak, Bekas Perdana Menteri Malaysia telah menyifatkan kenyataan tersebut sebagai bukti SST tidak telus jika dibandingkan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan beliau pada April 2015 yang lalu.

 

“Rakyat semakin sedar mereka masih dicukai di bawah SST walaupun resit tidak lagi menunjukkan cukai kerajaan dikutip sebagaimana sistem GST,” kata Najib dalam catatan di laman Facebook semalam.

 

Beliau turut memuatnaik sebuah lagi catatan di Facebook beliau pada hari yang sama dengan menyindir Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua dengan meminta beliau berkongsi lokasi KFC yang lebih murah dengan tambahan SST kepada umum.

 

Selain membuat pemeriksaan terhadap restoran KFC, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat siasatan terhadap restoran McDonalds yang dikhabarkan turut mengalami peningkatan harga seperti yang digembar-gemburkan oleh pengguna di media sosial.