Kiosk Keusahawanan Mini Bakal Dibuka di FSSK, UKM

Oleh Ong Min Huoy

BANGI 23 Mac – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal melancarkan ‘KIOSK’ keusahawanan mini pada bulan Mei semester ini. Penubuhan ‘KIOSK’ keusahawanan mini di FSSK merupakan salah satu manifesto Nur Hazwani Nadzir (Sarjana Muda Kerja Sosial) selaku Majlis Perwakilan Pelajar FSSK, sesi 2014/2015. Menurut beliau, lokasi ‘KIOSK’ ini adalah di aras 1, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, iaitu berdekatan dengan bilik persatuan mahasiswa terbaru.

Buat masa ini, ‘KIOSK’ keusahawanan mini hanya akan membuka dua gerai mudah alih terdahulu. Satu tender gerai ‘KIOSK’ ini akan dibuka kepada mahasiswa UKM manakala satu lagi gerai akan dibuka oleh Persatuan Mahasiswa FSSK. Penubuhan ‘KIOSK’ ini masih dalam proses perbincangan dan kelulusan dana. Setelah kelulusan diberikan, tender gerai akan dibuka kepada mahasiswa UKM. Jangkaan perasmian KIOSK akan dibuat pada bulan Mei ini.

Tujuan penubuhan ‘KIOSK’ adalah untuk menggalakkan mahasiswa untuk menjana pendapatan sampingan dalam pelaksanaan program pelajar tanpa mengharapkan sumber kewangan daripada pihak universiti semata-mata. Buat masa kini, ‘KIOSK’ keusahawanan mini akan berada di bawah seliaan beliau. Selepas beliau tamat kontrak sebagai Majlis Perwakilan Pelajar, ‘KIOSK’ ini akan diseliaan dibawah Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (PMFSSK).

Sebahagian daripada kutipan jualan daripada ‘KIOSK’ keusahawanan mini akan disumbangkan ke dalam tabung bantuan kilat yang merupakan manifesto kedua beliau. Menurut beliau, tabung bantuan kilat ini bertujuan untuk membantu pelajar dari FSSK yang menghadapi kecemasan kewangan. Tabung bantuan kilat ini akan dipegang oleh pihak fakulti dan Persatuan Mahasiswa FSSK.

Beliau turut mendakwa, satu kursus bersijil khas untuk siswi turut bakal dilancarkan pada bulan Mei ini. Kursus ini adalah berkaitan dengan kemahiran kendiri, kemahiran temuduga, penampilan diri dan keusahawanan. Mahasiswi UKM digalakkan untuk menyertai kursus ini.