Pelajar Cedera Ketika Mengangkut Air

Oleh Zakiah Ahmad

BANGI 23 Mac – Masalah gangguan bekalan air yang menghantui kebanyakan kolej penempatan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menimbulkan pelbagai kesukaran kepada penghuninya. Antaranya ada pelajar yang mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika mengangkut air menggunakan baldi sejak beberapa minggu lalu

Halimahtulsaadiah Nasruddin (Sarjana Muda Sains Makanan), dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) antara pelajar yang cedera ketika beliau ingin mendapatkan air dari tingkat bawah blok. Beliau kini tinggal di Kolej Keris Mas menjelaskan bahawa masalah yang berlarutan sejak beberapa hari lalu telah menyukarkan urusan hariannya seperti mandi dan mencuci pakaian.

“Saya terjatuh ketika turun dari tangga ketika ingin mengangkat air di tingkat bawah. Saya mengalami lebam-lebam dan siku saya terhentak pada tangga. Saya sangat kecewa dengan masalah air ini yang seakan tidak menemui jalan penyelesaian,” katanya ketika ditemuramah setelah pulang dari klinik.

Seorang pelajar wanita yang enggan dikenali berkata beliau turut tergelincir sewaktu menaiki tangga untuk ke biliknya di tingkat lima blok asrama. Terpaksa mengangkut air ditambah lagi dengan kesakitan yang ditanggung menyebabkan pelajar ini nekad untuk melaporkan masalah ini kepada wartawan Nadi Bangi UKM.

Laman Facebook UKM Confession menjadi medan bagi para pelajar untuk melempiaskan rasa tidak puas hati mereka berkenaan isu air ini. Para pelajar menuntut jawapan dari pihak yang bertanggungjawab dan berharap agar masalah ini dapat diselesaikan setelah sekian lama menghadapi masalah yang sama saban semester.