PENDIDIKAN SEKS TIDAK FORMAL MASIH TABU DI MALAYSIA? Oleh : Ilmi Safina

 

“Jangan takut jika terlanjur,” itu petikan kata-kata dari Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung kes seorang remaja perempuan yang dilaporkan meninggal dunia ketika melahirkan bayi lelaki di tandas rumahnya. Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Fiqh dan Muzakarah keempat di Institut Sosial Malaysia juga menyeru agar remaja yang sudah melakukan kesilapan dalam hidup mencari pertolongan dan tidak berasa keseorangan.

Semua kisah di atas berkongsi satu perasaan yang sama iaitu takut. Takut cemuhan jiran tetangga apabila melihat perut semakin membesar dan takut dibuang keluarga jika ahli keluarga mengetahui tentang kesilapan yang telah dilakukan. Berdasarkan penelitian yang telah dilakukan oleh ahli psikologi, John Muller mendapati bahawa peserta dengan taraf kecemasan yang tinggi, mempunyai kecenderungan untuk menggunakan strategi yang kurang baik ketika memproses maklumat.

Apa itu pendidikan seks tidak formal?

Pendidikan seks dalam kurikulum sekolah masih hangat diperdebatkan dalam kalangan guru-guru dan dikatakan tidak bersifat komprehensif namun harus diingat bahawa didikan awal seorang anak bermula di rumah. Bagaimana pula dengan anak-anak yang tidak pergi ke sekolah? Persoalannya, adakah pendidikan seks secara tidak formal di Malaysia masih bersifat tabu? Fokus kita ialah adakah ibu bapa dan masyarakat di Malaysia masih hidup dalam kepompong ‘shyness community’ yang menganggap pendidikan seks sama sekali dilarang dibincangkan di rumah?

Dalam sebuah video Let’s (Not) Talk About Sex, terdapat paparan kajian yang dilakukan oleh Pakar Perunding Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Sheila Marimuthu dan hasilnya mendapati bahawa 75% dari 3,000 pesakit yang dirujuk kepada beliau tidak tahu cara yang tepat untuk mencegah diri dari hamil dan rata-rata pesakit ini adalah di bawah umur serta menjadi mangsa jenayah seksual. Ternyata pendidikan seks secara tidak formal di Malaysia masih berada di takuk lama. Justeru, anjakan paradigma harus diimplementasikan supaya gejala pembuangan bayi di negara ini dapat diminimakan.

Sebab pendidikan seks tidak formal penting

Para ibu bapa harus membuang rasa kekok untuk mengajarkan anak-anak mengenai pendidikan seks di rumah dengan hikmah. Ajar mereka tentang pencegahan kehamilan seperti penggunaan kondom, pil perancang, cara kiraan waktu subur dan sebagainya. Bukanlah ini bermakna kita menggalakkan mereka mengadakan hubungan seks namun di sini kita cuba tekankan cara mengelak kehamilan tidak diingini kerana bukan semua anak-anak yang mengandung luar nikah adalah disebabkan melakukan seks secara suka sama suka. Terdapat juga kes di mana anak-anak ini dirogol dan tidak tahu apa yang perlu dibuat bagi mengekang permasalahan yang lebih besar. Oleh itu, mangsa jenayah seksual ini berasa tertekan kerana risau akan hamil dan lebih parah tekanan yang tidak dikawal boleh menyebabkan mereka berasa mahu membunuh diri.

Selain itu, pendidikan seks yang diajar secara tidak formal juga penting untuk kehidupan berumahtangga. Apabila anak-anak remaja sudah diajar oleh ibu bapa di rumah mengenai pendidikan seks, maka setelah mereka berumahtangga kelak, mereka akan bijak membuat perancangan keluarga. Bayangkan hidup di ibu kota di mana pendapatan di bawah RM 3000 masih diklasifikasikan sebagai miskin bandar.  Kemudian, pasangan tersebut hanya mampu mendiami perumahan kos rendah yang memiliki 3 bilik tidur sahaja. Akan tetapi disebabkan kurangnya ilmu pendidikan seks, anak-anak seramai 7 orang terpaksa berhimpit di sebuah rumah yang kecil. Sudahlah ditekan dengan kos sara hidup yang semakin menggila, persekitaran rumah yang tidak kondusif juga boleh memberi tekanan hebat kepada keluarga tersebut.

Seterusnya, ibu bapa dan mereka yang lebih dewasa juga harus bersifat terbuka untuk mengajarkan anak-anak agar berani berkata ‘tidak’ apabila ada individu cuba memegang bahagian privasi. Sememangnya dalam silibus subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) ada menyentuh mengenai perkara ini. Tetapi itu hanyalah secara teori di atas sehelai kertas bisu. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak secara bersemuka terutamanya anak yang kecil supaya mereka terhindar dari ancaman pedofilia.

Kesimpulannya, pendidikan seks secara tidak formal di Malaysia haruslah dilakukan penambahbaikan. Kempen kesedaran mengenai kepentingan pendidikan seks di rumah harus digiatkan supaya stigma tabu masyarakat mengenai perkara ini dapat dipecahkan. Ibu bapa dan masyarakat sekeliling amat memainkan peranan besar dalam memastikan anak-anak terselamat dari kebejatan gejala sosial.