Perkhidmatan E-Hailing Menjejaskan Teksi Konvensional?


Oleh : Siti Mastura Ramli

Perkhidmatan e-hailing atau e-panggilan merupakan suatu teknologi baharu yang kian
mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. E-hailing adalah satu aplikasi atau program perisian pada telefon pintar yang mana penumpang boleh mengenalpasti lokasi pemandu melalui peranti mudah alih iaitu telefon pintar manakala pemandu juga dapat mengenal pasti penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan mereka. Antara jenama e-hailing yang dikenali di Malaysia sekarang adalah GrabCar dan yang terbaru adalah MyCar. Uber juga merupakan salah satu syarikat tersohor di negara kita sebelum ianya mula bergabung dengan syarikat Grab sejak April tahun ini bagi perkhidmatan e-hailing di Asia Tenggara merangkumi Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan
Vietnam.

 

E-hailing Malaysia

Perkhidmatan e-hailing di Malaysia secara rasminya telah dikuatkuasakan sejak 12 Julai 2018 bertujuan untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan ini menepati tahap perkhidmatan yang berkualiti terutamanya dari aspek keselamatan. Syarikat e-hailing telah diberikan tempoh selama satu tahun untuk memenuhi syarat-syarat Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP). Perniagaan Pengantaraan adalah merupakan satu perkhidmatan yang disediakan untuk menempah perkhidmatan pengangkutan awam melalui aplikasi elektronik termasuklah kenderaan e-hailing dan teksi.

Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Nancy Shukri, terdapat kira-kira 306,780 individu yang berdaftar sebagai pemandu e-hailing di Semenanjung Malaysia. Beliau juga menyarankan agar pemandu teksi turut menggunakan perkhidmatan e-hailing agar setanding dengan kenderaan e-hailing lain seperti GrabCar dan MyCar. Hal inikerana, pemandu teksi turut mengeluh kerana kewujudan aplikasi e-hailing secara tidaklangsung telah menjejaskan punca pendapatan / periuk nasi mereka.

 

Kesamarataan

Usaha kerajaan untuk menyamaratakan dan memberi keadilan kepada kedua-dua
pihak iaitu antara pemandu e-hailing dan pemandu teksi konvensional berhak dipuji. Hal ini kerana, kementerian pengangkutan telah menetapkan dasar agar perkhidmatan e-hailing tidak dihapuskan kerana ia bukan sahaja digunapakai di Malaysia sahaja, malah turut digunakan hampir di seluruh dunia. Perkhidmatan ini juga sebenarnya telah membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat sama ada untuk pekerjaan tetap atau sampingan kerana ianya mudah digunakan dan berkualiti seiring dengan perkembangan teknologi.
Bagi mewujudkan persaingan dan peluang perniagaan yang adil, kementerian
pengangkutan telah menetapkan kaedah serta syarat yang sama terhadap syarikat e-hailing dari segi syarat kelayakan permohonan lesen, kenderaan, kelayakan pemandu dan operasi sebagaimana yang telah ditetapkan kepada pengusaha teksi. Walaubagaimanapun, proses ini mengambil masa kerana mustahil bagi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer(PUSPAKOM) dan jabatan lain bertindak cepat bagi proses pendaftaran dan pengujian kereta kerana jumlah pemandu e-hailing yang ramai dan semakin bertambah dari hari ke hari.

 

Reaksi masyarakat

Dengan pelbagai jenis pengangkutan awam yang ada, masyarakat semakin bijak menilai dan memilih perkhidmatan yang mana memberi lebih kepuasan, selesa serta berkualiti. Kita biasa dengar di dalam akhbar, berita dan sebagainya tentang rungutan
pemandu teksi yang mengeluh mengenai perkhidmatan mereka yang terjejas setelah
kemunculan perkhidmatan e-hailing. Hal ini sebenarnya disebabkan oleh sesetengah dari
mereka sendiri yang tidak menjaga kualiti perkhidmatannya malah teksi dilihat tidak lagi
relevan pada masa sekarang kerana teknologi aplikasi e-hailing itu lebih terkehadapan dan mudah. Sebagai contoh, perkara negatif tentang teksi adalah seperti enggan menggunakan meter, mengenakan tambang yang tidak masuk akal, memilih pelanggan serta keadaan teksi itu sendiri yang uzur, kotor dan tidak terurus. Tindakan mereka melakukan demonstrasi
bantahan, mengesa kerajaan menghapuskan perkhidmatan e-hailing serta tindakan biadap terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam majlis perjumpaan bersama
Persatuan Pemandu Teksi di Langkawi baru-baru ini telah merosakkan lagi industri teksi.

Dengan merujuk kepada pertambahan jumlah pemandu dan pengguna e-hailing,
jelaslah bahawa masyarakat kita menerima baik perkhidmatan tersebut kerana menjimatkan masa serta memperoleh maklumat yang lengkap mengenai kenderaan, pemandu dan harga hanya melalui telefon pintar sahaja. Ini dibuktikan lagi dengan wujudnya perkhidmatan e-hailing MyCar yang bersaing dengan GrabCar dengan mempelbagaikan lagi perkhidmatan mereka. Sebagai contoh Grab juga menyediakan perkhidmatan GrabFood dan GrapPay sebagai dompet elektronik.

 

Saranan

Penulis menyarankan agar teksi turut melakukan perubahan dengan menggunapakaic aplikasi e-hailing agar mereka dapat bersaing dengan GrabCar dan MyCar dalam industri perkhidmatan pengangkutan awam. Pengusaha teksi seharusnya menyahut usaha kerajaan untuk memastikan mereka turut dapat bersaing dengan yang lain. Antara tawaran kerajaan kepada pemandu teksi yang ingin menyertai industri e-hailing ialah mereka akan diberikan bantuan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM 5,000 ringgit untuk membeli kenderaan baharu atau terpakai. Oleh itu, mereka haruslah memanfaatkan peluang yang disediakan serta berani untuk berubah mengikut peredaran masa dan kehendak masyarakat.