PERSIAPAN RAPI SEBELUM FORUM ESPORT

 

 

Oleh : Ilmi Safina

Disunting oleh : Muhammad Fikri Abdullah

BANGI, 19 Nov- Persiapan rapi seperti menghias luar dewan kuliah, melakukan latihan penyerahan cenderamata dan sebagainya telah dijalankan oleh para pelajar tahun akhir Ijazah Sarjanamuda Sains Sosial dengan Kepujian (Komunikasi Media), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum berlangsungnya program E-Sports Casuals Connect 2018.

E-sukan atau sukan elektronik membawa maksud pertandingan kompetitif yang membabitkan permainan video dalam kalangan para pemain dan genre permainan video yang biasa dikaitkan dengan sukan elektronik adalah ‘First Person Shooter’ (FPS) dan ‘Multiplayer Online Battle Arena’ (MOBA). Penganjuran program berbentuk forum ini juga adalah bagi memenuhi tugasan kursus SKKP3053 Industri Komunikasi, Dasar dan Undang-Undang.

“Bagi saya, setiap Ahli Jawatankuasa (AJK) mengetahui tugas mereka dengan jelas sepanjang menjayakan persiapan terakhir dan setakat ini tiada masalah besar dihadapi oleh setiap bahagian AJK,” ujar Ketua Pengarah Program, Mohammed Faizal Mohd Nor Al Kamaruddin.

“Meskipun saya merupakan AJK Cenderamata, namun saya turut membantu AJK Dekorasi membuat persiapan akhir seperti memotong tulisan dari kadbod ini kerana mahu semuanya kelihatan tersusun pada esok hari,” ujar Siti Farwani Muhamad, 22.

Jemputan barisan panel yang berwibawa juga membuatkan beliau berasa gementar kerana ini bermakna imej Pusat Komunikasi Dan Masyarakat Digital, UKM harus dijaga dengan baik.

Kenyataan yang sama turut disokong oleh Noranisha Othman, 22 yang bertugas sebagai AJK Dekorasi.

“Dengan usaha keras dari semua AJK Dekorasi menghias setiap sudut lokasi, diharapkan tema Neon Lights yang dipilih dapat menarik kedatangan pengunjung untuk turut serta dalam forum ini,” tambah beliau.

Sementara itu, Siti Maizura Maulad Othman, 23, yang bertugas di bahagian program berhadapan dengan detik sukar apabila berlaku pertukaran panel di saat akhir, namun beliau menzahirkan rasa syukur kerana segalanya mampu diatasi dengan baik.

Beliau turut memuji usaha seluruh AJK yang bertungkus-lumus mempromosikan program tersebut sehingga sambutan yang diperolehi dari para pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) sangat memberangsangkan.