PROGRAM FOOD BANK MEMBANTU YANG MEMERLUKAN

Oleh: Goon Luzanne

Gambar: Sumber Internet

KOTA BHARU, 4 Nov – Majlis Pelancaran Projek Perintis Program Food Bank Malaysia Peringkat Negeri Kelantan telah dianjurkan di Pasaraya Besar Giant Kota Bharu.

Objektif Program Food Bank adalah untuk membantu pihak peniaga untuk mengurangkan masalah pembaziran makanan selepas meniaga dan pada masa yang sama untuk membantu golongan yang memerlukan.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau berkata program ini akan mengumpul makanan yang lebih daripada pihak restoran, perhotelan dan peruncitan, kemudianya mengagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Golongan sasar adalah penduduk yang berpendapatan kurang daripada RM 930 sebulan, bantuan juga akan diagihkan kepada rumah kebajikan seperti anak yatim dan warga emas,” katanya.

Menurut salah seorang peniaga runcit Mohd Adzree, 45, beliau mengambil kesempatan hadir ke majlis ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program ini, dan beliau berpendapat bahawa masalah pembaziran makanan dapat diatasikan jika program ini  berjalan dengan lancar.

Salah seorang pengunjung, Noor Azrina, 33, “Program ini dapat meringankan beban kepada golongan yang kurang berkemampuan, terutamanya keluarga yang berpendapatan rendah”.

Norfazira, 28, berkata, program ini dapat memberi manfaat kepada pihak peniaga dan juga masyarakat yang kurang berkemampuan, di mana pihak peniaga dapat mengatasi masalah pembaziran makanan, dan golongan berpendapatan rendah dapat menjimatkan wang mereka.

Turut hadir, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution, dan Setiausaha Syarikat GCH Sdn Bhd, David Cham.