SURAT MENYATUKAN ANAK NEGERI

Oleh : Ilmi Safina

Editor : Nur Shafika

BANGI, 15 Dis- Program Sukan Rakyat Tradisional (SURAT) yang bertujuan untuk menghidupkan kembali sukan tradisional selain merapatkan hubungan kesemua anak negeri telah diadakan di Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program selama satu hari ini adalah anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) dan setiap ahli Majlis Tertingggi (MT) serta Ahli Jawatankuasa (AJK) terdiri dari anak negeri lain yang bekerjasama mengadakan pelbagai jenis permainan tradisional.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana walaupun pertama kali program sebegini diadakan namun setiap anak negeri turun padang bagi sama-sama menyatakan sokongan,” ujar Pengarah Program, Amir Muslim, 21.

Menurut beliau, antara keunikan program ini adalah para peserta dapat mengenali dan bermain permainan tradisional kerana selama ini anak muda hanya terdedah dengan permainan moden.

Sementara itu, AJK permainan galah panjang, Fakhrul Syakirin, 22, berkata beliau dan ahli yang lain telah melakukan simulasi bagi permainan tersebut bagi memastikan permainan berjalan dengan lancar dan adil.

“Ini adalah pengalaman baru bagi saya kerana sebelum ini saya tidak mengetahui mengenai peraturan permainan dan cara mencatat markah bagi permainan galah panjang,” tambah beliau.

Peserta acara baling selipar, Intan Nur Fatin, 20, pula melahirkan rasa seronok kerana dapat turut serta dalam program tersebut.

“Bagi saya, program sebegini sememangnya wajar diteruskan pada masa hadapan kerana bukan sahaja dapat mengimbau kenangan semasa zaman kanak-kanak malah dapat memupuk semangat kerjasama sesama anak negeri bagi memenangi perlawanan,” kata beliau.

Pelajar jurusan Geografi, Hazirah Sharnuddin pula menyatakan rasa teruja melihat acara galah panjang yang dipertandingkan.

“Saya hadir ke sini bagi melihat acara galah panjang kerana tidak ramai orang tahu bermainnya dan sememangnya ia adalah antara sukan tradisional yang paling saya gemari,” ujar beliau.

Antara permainan tradisional yang telah dipertandingkan dalam program ini adalah ceper, galah panjang, batu seremban, tarik tali dan bermain bola sepak dengan kain pelikat.