Sumbangan UEM Group Bantu Pesakit

Sumbangan UEM Group Bantu PesakitOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 1 Jun 2015 – Syarikat kejuruteraan terkemuka negara UEM Group menyumbang RM350,000 kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menambah kelengkapan peralatan di Advanced Surgical Skills Centre (ASSC) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Berhad Dato’ Izzaddin Idris menyerah sumbangan dari Tabung Zakat UEM tersebut kepada Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali pada satu acara ringkas di sini hari ini.

Turut hadir di majlis ini  masing-masing Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar, Prof Dr Imran Ho Abdullah (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali, Ketua ASSC Prof Madya Dr Hanafiah Harunarashid serta pegawai-pegawai kanan UEM dan UKM.

Dalam kata-kata aluannya, Prof Noor Azlan mengucapkan terima kasih atas sumbangan wang tersebut kepada Tabung Kebajikan Pesakit PPUKM.

Beliau berkata di HCTM bukan semua rawatan dapat ditampung oleh pusat perubatan itu, terutamanya dalam aspek perlindungan insuran dan kos rawatan yang terpaksa ditanggung oleh para pesakit.

Pada tahun lalu pihak UEM telah menyumbangkan sejumlah RM250,000 kepada tabung yang sama yang digunakan untuk merawat pesakit yang kurang berkemampuan seperti menampung kos implan, peralatan pemulihan pesakit, kemoterapi kepada pesakit kanak-kanak yang mengidap barah dan sebagainya.

Dato’ Izzaddin pula berkata UEM tetap mempunyai tanggungjawab korporat untuk  membantu sektor kesihatan dan perubatan kerana kaitannya dengan modal insan.

“UEM Group prihatin terhadap keperluan mereka yang kurang berada dan kita cuba sedaya upaya untuk membantu mengurangkan beban dari masa ke semasa.

“Rawatan perubatan biasanya makan belanja yang besar, dan ramai yang masih tidak mampu menyelesaikannya walaupun sebahagian besar kos tersebut menerima subsidi,” katanya.

UEM Group adalah syarikat infrastruktur dan perkhidmatan kumpulan berasaskan kejuruteraan yang mempunyai rekod yang mantap dan operasi global.

Sumbangan UEM Group Bantu Pesakit_1