13 Ekor Lembu Dikorbankan Sempena Aidil Adha UKM

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto: Ra’ai Osman, Izwan Azman

BANGI, 25 September 2015 – Sebanyak 13 ekor lembu dan dua ekor kambing dikorbankan pada Majlis Ibadah Korban dan Akikah 1436H anjuran Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Majlis kali ke-33 itu diadakan di tempat letak kereta Masjid Universiti di sini pagi ini.

Pegawai Hal Ehwal Islam UKM, Khairil Khuzari Omar berkata Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menyumbangkan seekor lembu masing-masing untuk upacara itu.

Yang lainnya adalah sumbangan daripada pelbagai fakulti dan pusat pengajian UKM.

Ketua Imam Ustaz Muhd Hafiz Osman mengetuai upacara yang dimulakan pada pukul 7 pagi. Turut hadir Naib Canselor Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dato’ Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah O.K Rahmat.

Prof Noor Azlan turut membantu menyediakan pembahagian daging dan  kemudiannya telah menyampaikan bungkusan daging korban kepada peserta dan orang ramai yang hadir.

Seramai 150 orang kakitangan UKM yang menganggotai 15 jawatankuasa kecil telah bekerjasama dalam semangat gotong-royong hingga membolehkan penyembelihan dan pembahagian daging selesai sebelum waktu Zuhur. Mereka dibantu oleh 12 orang anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PELAPES) UKM.

Sebanyak tiga ekor lembu yang pertama disembelih digunakan untuk memasak lauk pada jamuan tengah hari yang diadakan di tapak itu.

Mereka yang menyertai korban kali ini menerima dua kilogram daging seorang.ukmnewsportal-bm
4

2

3

5

6