13 Pelajar PhD Kongsi Hasil Penyelidikan


Oleh Melissa Heidi

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 8 Mei 2017 – 13 pelajar Doktor Falsafah (PhD) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah terpilih menyertai Program Bicara Tuntas Pasca Siswazah UKM 2017 bagi berkongsi hasil penyelidikan yang dijalankan sepanjang pengajian.

Pengerusi program tersebut, Nasharuddin Zainal berkata antara kriteria pemilihan pembentang adalah pelajar itu perlu lulus peperiksaan secara lisan dan kajian yang dijalankan memberi impak pada masyarakat.

“Selain itu, hasil kajian perlu mempunyai nilai kelestarian dan berpotensi untuk dikembangkan serta mempunyai nilai komersial,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat dalam ucapannya telah menggariskan tujuh Cabaran Perdana Pendidikan, antaranya ialah pengukuhan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Pengukuhan STEM ini adalah penting untuk memastikan ilmu pengetahuan dan teori yang dipelajari dapat digunapakai untuk menyelesaikan masalah di dunia sebenar terutamanya untuk pelajar yang sedang melaksanakan penyelidikan,” katanya.

Pembentangan pelajar bermula daripada Fakulti Farmasi, Institut Informatik Visual, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Pendidikan, Institut Penyelidikan Tenaga Suria, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa serta Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.