20 Kadet UPNM Ikuti Pengajian Undang-Undang di UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 2 Mei 2018 – 20 orang kadet Akademi Latihan dan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan mengikuti pengajian Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk kohort pertama bermula September ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof. Dr. Mohd. Ekwan Toriman berkata, kerjasama antara UKM dan UPNM itu adalah collegiality atau kerjasama strategik bagi melahirkan graduan ketenteraan dengan latar belakang perundangan.

“Ini adalah satu inisiatif yang julung kali dibuat dalam sejarah institusi pendidikan tinggi perundangan dan pertahanan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, satu jawatankuasa bersama akan ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program kerjasama tersebut.

“Kerjasama strategik ini akan melahirkan prefesional perundangan dalam bidang ketenteraan bagi mendepani cabaran industri pertahanan yang semakin mencabar dan kompleks di arena tempatan dan antarabangsa,” katanya sewaktu berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dan UPNM di Bilik Majlis, baru-baru ini.

Katanya, beliau melahirkan keyakinan MoA tersebut akan memberi faedah bersama antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi.

“Saya turut menaruh harapan yang tinggi agar kerjasama strategik ini turut diperluas kepada aktiviti penyelidikan dan penerbitan jurnal berimpak tinggi serta buku penyelidikan.

“Semoga penyelidikan ini akan memberi manfaat dan rujukan kepada mahasiswa dan juga warga UKM dalam memajukan bidang pendidikan, penyelidkkan dan inovasi,”jelas beliau.