20 Orang Mahasiswa Dari Malaysia Kini Di Mexico

20 Malaysian Exchange Students Now In MexicoOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 26 Januari 2015 – Seramai 20 orang mahasiswa dari sembilan buah universiti di negara ini telah bertolak ke Mexico awal Subuh Sabtu dua hari lalu untuk menghadiri Program Pertukaran Malaysia-Mexico (AMPEX) 2015.

Mereka itu termasuk tujuh orang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada di Mexico dari Ahad kelmarin hingga 15 Februari dan akan melawat beberapa bandar lain semasa berada di negara itu.

Program itu terbuka kepada pelajar Malaysia dari tahun kedua atau ketiga, telah memperolehi nilai gred kumulatif (PNGK) tidak kurang dari 3.00 serta mencapai Malaysian University English Proficiency Test (MUET) Band 3 dan ke atas.

Program ini dianjurkan bersama Kementrian Pendidikan, Gobierno del Estado de México [EDOMEX] dan  UKM.

Timbalan Ketua Misi Kedutaan Mexico di Malaysia, Lourdes Sosa Marquez dalam taklimatnya kepada pelajar itu Jumaat lalu sehari sebelum mereka berlepas berkata keselamatan mereka semasa berada di negara itu terjamin tetapi mereka perlu mematuhi peraturan lawatan.

Segala langkah berjaga-jaga telah diambil dan peserta perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh AMPEX.

Marqez berkata pelajar-pelajar itu akan diagihkan kepada empat buah universiti tuan rumah yang mengambil bahagian dalam program itu dan mereka dijadualkan mengikuti beberapa acara istimewa, termasuk lawatan ke empat tapak Warisan Dunia.

Beliau menasihati mereka untuk mencuba mempelajari beberapa ungkapan biasa bahasa tempatan iaitu bahasa Sepanyol, terutamanya ucapan selamat datang dan bentuk menyambut.

“Lebih mudah untuk bermesra dengan orang ramai jika anda cuba bertutur Bahasa Sepanyol, walaupun tidak fasih,” katanya.

Peserta dibekalkan dengan beberapa buah buku panduan termasuk buku ungkapan dan garis panduan mengenai adat tempatan. Mereka telah berangkat pada waktu subuh Sabtu lepas dengan mengambil masa 28 jam sebelum sampai ke Bandar Raya Mexico City.

Marqez mengingatkan mereka untuk bersedia dengan tekanan udara yang rendah di Mexico City yang terletak pada ketinggian 2,250 meter – antara kawasan metropolitan utama yang tertinggi di dunia. Bagaimanapun mereka boleh biasakan diri dengan udara itu dengan cepat selagi mereka tidak melakukan senaman berat secara serta-merta, katanya.

Kini musim sejuk di Bandar Raya Mexico dengan suhu pada 16 darjah Celsius dengan keadaan lembap, katanya.

Naib Canselor UKM, Professor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah, Pengarah Pusat Perhubungan Antarabangsa (UKM Global) Prof Madya Dr Yazrina Yahya dan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Prof Dr Rashila Ramli turut hadir di majlis taklimat itu.
ukmnewsportal-bm