200 Pelajar UKM Ikuti Program Keusahawanan Budding-PUMA


Oleh Amahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 28 Dis 2017 –Seramai 200 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah menjalankan perniagaan keusahawanan dan peruncitan menyertai program Budding-PUMA anjuran bersama Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (CESMED), UKM dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Pengarah CESMED, Prof Datin Dr Shamshubaridah Ramlee berkata, program berkenaan menawarkan pembiayaan perniagaan antara RM1,000 hingga RM10,000 kepada pelajar golongan bumiputera yang mahu menjalankan perniagaan.

“Antara perniagaan itu ialah penjagaan kesihatan, perdagangan am, trak makanan, fesyen dan gaya hidup, e-perdagangan (perniagaan dalam talian), pendidikan, makanan dan minuman serta kreatif dan gaya hidup,” katanya semasa berucapa di Majlis Pelancaran Program Bdding-PUMA di Bilik Senat, baru-baru ini.

Beliau berkata, selain dari menggalakkan mahasiswa bumiputera melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, ia turut memberi peluang untuk mengembangkan perniagaan dengan bantuan kewangan yang telah disediakan oleh pihak PUNB.

Saya yakin dengan pengisian dan sokongan yang mantap daripada pelbagai pihak, peserta yang menyertai program ini tidak akan pulang dengan tangan kosong, sebaliknya membawa pulang semangat dan pemikiran baru, katanya.