2025: UKM menjadi Universiti Kelas Dunia


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 4 Mac 2020 – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor meletakkan sasaran agar menjalang tahun 2025, UKM akan menjadi sebuah Universiti Kelas Dunia (WCU).

Harapan beliau itu telah diterjemahkan pada majlis Bicara Perdana Naib Canselor 2020 di Derwan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) yang telah dihadiri oleh warga UKM iaitu pengurusan tertinggi, dekan-dekan fakulti, kakitangan dan pelajar.

Dalam bicara tersebut, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi telah membentangkan strategi UKM iaitu pencapaian UKM 2019 dan hala tuju UKM pada 2020, sekaligus memperkenalkan slogan iaitu Budaya Berprestasi Tinggi yang memfokuskan kepada hasil, kecekapan, pembelajaran yang berterusan dan keterbukaan kepada perubahan.

Fokus stratetgi UKM pada tahun ini adalah dalam penyelidikan berkualiti dan berimpak tinggi, pemerkasaan pengajaran dan pembelajaran, pengantarabangsaan, penyerlahan bakat dan kelestarian pendanaan.

Beliau turut menggambarkan UKM 2020 sebagai tahun penjajaran (alignment) dan pada tahun 2021 UKM menjadi sebuah Universiti yang berasaskan pemerkasaan (empowerment) supaya  apabila berada  di tahun 2025, UKM akan menjadi sebuah Universiti Kelas Dunia.

“Kita perlu mengoptimumkan apa yang kita ada… warga UKM semuanya hebat-hebat, maka kita perlu mengoptimumkan keupayaan dan kehebatan serta tingkatkan produktiviti dalam mencapai kecemerlangan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan antara ciri-ciri universiti bertaraf dunia adalah bermula dengan mempunyai pensyarah-pensyarah yang hebat, melahirkan pelajar terbaik di universiti, sistem sokongan yang cekap, penyelidikan yang berimpak tinggi, pengajaran yang cemerlang dan menerima dana yang banyak.

“Semua Warga UKM perlu bersama-sama mewujudkan budaya berprestasi tinggi bagi memacu UKM menjadi Universiti bertaraf dunia,” ujarnya .