40 Pelajar UKM Hadiri Temuduga Program Keusahawanan

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Gambar oleh Shahiddan Saidi

BANGI, 26 September 2016 – Seramai 40 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari pelbagai bidang pengajian telah menghadiri temuduga untuk program Keusahawaan yang akan dimulakan pada semester ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang juga adalah ahli panel temuduga tersebut berkata, hanya 25 pelajar sahaja yang akan dipilih untuk mengikuti program tersebut.

“Saya mencari calon yang serba boleh dari segi tuntas bicara, dan sudah mempunyai rangka produk yang mereka ingin pasarkan.

“Selain itu, saya berminat untuk mengetahui bagaimana calon tersebut merancang untuk mempromosikan produk terebut,” katanya.

Beliau berkata kursus itu akan membantu calon usahawan yang mempunyai idea dan keaslian tersendiri yang ingin diketengahkan dan mencapai pasaran perniagaan.

“Calon yang berjaya dipilih akan mengikuti kelas keusahawanan selama empat bulan sehingga Januari 2017 dan mereka akan dibawa ke Google untuk melihat bagaimana pelajar antarabangsa yang terlibat dalam bidang keusahawanan, sama ada dalam bidang teknologi atau bukan teknologi memasarkan produk tersebut,” katanya.

Beliau turut berharap UKM mempunyai calon yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang akan berjaya memasarkan produk ke tapak yang lebih tinggi supaya program itu dapat di teruskan pada masa hadapan.

Pelajar Ijazah Sarjana Keusahawanan dan Inovasi, Nurhidayah Saman yang hadir pada sesi temuduga itu berkata peluang menghadiri program keusahawan akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk meningkatkan ilmu pengetahuannya dalam bidang keusahawanan dan menjadi protégé kepada Tan Sri Mohd Irwan.

Katanya, beliau membentangkan produk sendiri iaitu My Baby Bump Studio, yang merupakan studio khas untuk ibu-ibu mengandung yang ingin tampil menarik serta sihat.ukmnewsportal-bm
2