50 Sekolah di Kedah Sertai SSP:RFL


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan HAshim

BANGI, 23 Julai 2020 – 50 buah sekolah menengah di Kedah telah menyertai program Sustainable School Project: Recycle for Life (SSP:RFL) iaitu program komuniti dalam memberi kesedaran berkaitan kepentingan mengurangkan sisa buangan domestik.

Program yang diadakan sejak April 2019 adalah untuk menggalakkan pelajar mengitar semula barang dengan menyasarkan penglibatan pelajar, guru, kakitangan sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat. 

Konsep 5R (tolak, kurang, guna semula, pulih, kitar semula) dan pendidikan kelestarian serta ilmu STEEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Alam Sekitar & Matematik) diperkenalkan melalui Modul Kelestarian Sekolah 5R yang telah dihasilkan oleh kumpulan penyelidik ZF-2019-004.

Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, YSB amat menitikberatkan ilmu dan pembelajaran terutamanya kepada generasi muda . 

“Ia selaras dengan misi YSB dari awal penubuhan pada tahun 1998 iaitu menjadi agen perubahan melalui kaedah memberi program, bantuan pelaksanaan program yang bermanfaat kepada penduduk di negeri Kedah Darul Aman,” katanya.

Beliau yang juga Pro-Canselor UKM berkata, melahirkan rasa bertuah dan gembira kerana YSB telah dipilih dan terlibat secara langsung dalam program tersebut.

“Besar harapan saya agar keempat-empat pihak yang terlibat (Yayasan Hasanah, E-Idaman Sdn. Bhd., Jabatan Pelajaran Negeri Kedah dan UKM) akan terus bersama-sama berganding bahu dan saling membantu dalam mengadakan program seperti ini di masa akan datang. 

“Saya berdoa agar UKM dan Institut Perubahan Iklim akan terus mencapai kejayaan dan sentiasa mampu menyumbang dan membawa perubahan kepada masyarakat seterusnya membantu anak-anak bangsa kita dalam melahirkan generasi cemerlang di masa hadapan,” katanya.

Beliau berharap agar program tersebut memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat secara berterusan.

Program SSP:RFL telah bermula pada 11 April 2019 dengan aktiviti Training of Trainers (ToT) Sustainable School Project: Recycle for Life Workshop yang diadakan di Keriang Hill Resort, Alor Setar, Kedah. 

Kemudiannya, Program Jelajah STEM 5R telah dianjurkan pada 25 – 29 Ogos 2019 ke semua sekolah tersebut dengan penglibatan sebanyak 10 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar UKM yang terpilih. 

Antara 50 buah sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Sains Pokok  Sena, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Megat Dewa, SMK Syed Ibrahim,  SMK St Michele, SMK Lubok Merbau dan SMK Agama Yan.

Sepanjang program berlangsung, sekolah terlibat diberi galakan dan sokongan untuk melaksanakan aktiviti kutipan barang kitar semula dengan menyasarkan hasil kutipan berjumlah 450 kilogram sepanjang program dan hasil barangan kitar semula tersebut akan dijual semula kepada pihak E-Idaman dengan menggunakan kad pintar Recycle for Life

Hasil jualan dikreditkan dalam kad tersebut dan boleh digunakan di kedai yang berdaftar dengan pihak E-Idaman.

Majlis penutup yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom turut disertai oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, wakil Yayasan Hasanah, Wakil E-Idaman, wakil JPN Kedah dan guru-guru dari 50 sekolah yang terlibat.