50 Tahun Ditubuhkan, UKM Terus Lahirkan Alumni Tersohor


Artikel ditulis oleh Dato’ Muhammad Husin (Alumni UKM)

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bukan nama baharu dalam dunia pendidikan tinggi. Kelahirannya berlaku kerana terdapatnya manusia patriotis yang tidak percaya bahawa bahasa kebangsaan tidak mampu menjadi tonggak kepada sebuah universiti. Semangat jati yang kukuh inilah yang akhirnya merealisasikan penubuhan UKM. Dari semangat kepimpinan teknokrat sehinggalah kepada rakyat biasa yang menderma segala yang termampu, akhirnya terbentuk sebuah universiti bernama Universiti Kebangsaan Malaysia.

Selepas 50 tahun, UKM telah melahirkan ribuan generasi tersohor dan alumninya yang kini melebihi 200,000 orang berada dalam pelbagai sektor. Proses yang mereka lalui semasa di kampus dari Kampus Jalan Pantai sehingga ke Kampus Induk Bangi dan Cheras telah merakamkan resam dan cerita yang menarik. Cerita-cerita ini adalah nostalgia yang mengikat persahabatan dan kenangan terhadap UKM. Cerita-cerita ini juga menjadi kongsian untuk tatapan pelajar yang masih menuntut, dan yang sedang melalui proses yang mungkin berbeza dengan generasi terdahulu.

50 tahun lalu, generasi terawal yang menjadi perintis kelahiran sebuah universiti hadir dengan wajah yang serba tidak pasti. Kampusnya menumpang di Lembah Pantai berdekatan dengan Universiti Malaya dan Maktab Perguruan Bahasa. Di sebalik serba kekurangan, UKM terus membangun dan membuktikan kemampuannya. Kini UKM boleh berbangga atas keupayaan melahirkan hampir 200,000 graduan dan tergolong dalam 1% universiti terbaik di dunia, sesuatu yang mungkin tidak dijangka oleh pengasasnya.

Kehidupan di kampus adalah pengalaman kehidupan yang membina kematangan pelajar, dari hari pertama menjejakkan kaki ke UKM sehingga ke hari penerimaan skrol (konvokesyen). Pengalaman yang dilalui menjadi kenangan para alumni UKM. Pengalaman belajar bersama, berorganisasi, bersukan, memasak dan makan bersama, ‘berdating’, berpolitik dan seribu satu pengalaman membina persahabatan yang kukuh dalam kalangan alumni UKM. Pengalaman ini menjadi nostalgia yang dikongsi bersama melalui reunion, termasuklah reunion di media sosial seperti facebook, instagram, whatsapp, telegram dan sebagainya. Pengalaman ini menghidupkan kembali kenangan lampau dan merapatkan jaringan hubungan sesama alumni iaitu antara alumni dengan alma mater. UKM amat menghargai jaringan ini kerana ianya dapat membantu dalam pembangunan universiti.

Alumni UKM kini digabungkan dalam Majlis Alumni UKM yang kini dipengerusikan oleh Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Razak, Presiden Universiti Perubatan Cyberjaya. Melalui Majlis Alumni UKM, alumni UKM boleh menyumbang kepada pembangunan universiti sama ada pembangunan fizikal atau pembangunan pelajar dalam apa jua kapasiti termampu. Malah alumni UKM turut memberi sumbangan untuk membantu pelajar-pelajar yang dikategorikan sebagai B40. Para alumni sedar bahawa pelajar kategori B40 sedang bertarung dengan kehidupan yang sukar untuk mengejar ilmu dalam keadaan serba kekurangan.

Bagi yang berkhidmat di sektor kerajaan, alumni UKM boleh berperanan mewujudkan kerjasama strategik antara sektor mereka dengan UKM. Kerjasama ini meningkatkan kemampuan UKM dalam penyampaian perkhidmatan, sama ada dalam bentuk penyelidikan, khidmat kepakaran atau perkongsian maklumat bagi kepentingan bersama. Bagi alumni yang berkhidmat di sektor swasta pula, sama ada di institusi kewangan, insurans, perubatan, industri, enterprais kecil dan sederhana dan sebagainya, UKM sentiasa berharap kerjasama strategik dapat diwujudkan bagi memberi ruang latihan kepada pelajarnya menjalani latihan industri.

Namun begitu, ikatan alumni chapter kolej adalah sangat bermakna kerana hampir 70% masa pelajar berada di kolej kediaman. Manakala, alumni UKM chapter luar negara mempunyai kedudukan yang istimewa di negara masing-masing. Di Indonesia misalnya, ramai dalam kalangan alumni ini yang menjadi ahli akademik memegang jawatan tinggi di peringkat Rektorat seperti memegang jawatan Rektor, Timbalan Rektor atau dekan-dekan. Kerjasama penyelidikan dan penerbitan boleh diwujudkan antara institusi pendidikan tinggi luar negara dengan UKM.

Kesimpulannya, setiap alumni UKM boleh menyumbang dalam kapasiti masing-masing dan tidak semestinya dalam bentuk kewangan. Setidaknya, mereka bersedia memberi motivasi dan berkongsi pengalaman kerjaya sebagai panduan kepada pelajar untuk membuat persediaan kerjaya dan merancang laluan kerjaya masing-masing. Dalam usia 50 tahun, UKM masih lagi dianggap sebagai sebuah universiti yang baharu berbanding universiti ternama lain yang berusia ratusan tahun, namun tidak mustahil untuk universiti ini terus melakar nama sebaris dengan universiti-universiti tersohor itu.