7,655 Graduan UKM Terima Ijazah


BANGI, 2 November 2019 – Seramai 7,655 graduan bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-47 yang berlangsung 2 November hingga 5 November ini.

Daripada jumlah itu, seramai 531 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 2,551 graduan Ijazah Sarjana, 235 graduan Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan, dua graduan Ijazah Sarjana Kepakaran Pergigian, lapan graduan Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan Lanjutan Dematologi, 4,208 graduan Ijazah Sarjana Muda, 101 graduan Diploma Pascasiswazah dan 19 graduan Diploma.

Majlis Konvokesyen itu turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan kepada Prof. Michchael Lavelle-Jones yang merupakan mantan Presiden The Royal College of Surgeon of Edinburgh. Manakala Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Keamanan Sejagat dan Pembangunan Mapan diberikan kepada Tuan Yang Terutama Ban Ki-moon yang merupakan Mantan Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selain itu, penganugerahan gelaran Profesor Emeritus diberikan kepada empat orang mantan akademik UKM iaitu Dr. Muhammad Mat Salleh (Organik Elektronik), Dr. Bohari Yamin (Kimia), Dr. Tham Siew Yin (Ekonomi) dan Dato’ Dr. Lokman Saim (Otologi) yang telah menabur bakti kepada universiti sepanjang berkhidmat di UKM.

Majlis Konvokesyen UKM Ke-47 juga turut menghargai kejayaan graduannya apabila Farahana Mohamed dari Fakulti Sains Kesihatan dan Nalina Santhiran graduan Fakulti Undang-Undang menerima Anugerah Pelajaran DiRaja, manakala Muhammad Alif Fitri Abdul Halim, graduan Fakulti Pengajian Islam menerima Anugerah Naib Canselor. Anugerah Tun Razak pula dianugerahkan kepada Joshua Peh Jian Ren dari Fakulti Pergigian.