Ahli Akademik Patut Kaji Peningkatan Nahas Jalan Raya – JPJ

jpj1
Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)

Foto Izwan Azman

BANGI, 23 Julai 2015 – Para Akademik harus menyelidik gejala kemalangan jalan raya yang semakin meningkatkan dari tahun ke tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Dato’ V. Valluvan berkata kadar kemalangan jalan raya meningkat sehingga 7,000 kes setiap tahun dan ia telah menggambarkan bahawa kesedaran masyarakat masih kurang.

“Jika disamakan kemalangan jalan raya setiap tahun adalah seperti kemalangan 20 pesawat dalam setiap tahun. Ia merupakan perkara serius yang perlu diberi perhatian lebih kepada masyarakat, kerajaan dan ahli akademik,” katanya pada majlis penutup program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada 28 Mei 2015.

Dato’ Valluvan berkata kesedaran masyarakat terhadap keselamatan jalan raya dianggap masih kurang kerana jumlah kemalangan jalan raya adalah meningkat dari tahun ke tahun.

Beliau berkata daripada 7,000 kemalangan yang berlaku setiap tahun, 70 peratus adalah melibatkan golongan muda.

“Oleh itu, kita perlu ada pendekatan baru melalui kampus dengan membentuk skuad muda kerana kepekaan mematuhi undang-undang jalan raya sememangnya perlu bermula dari kampus,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dr Imran Ho Abdullah berkata Pusat Keselamatan UKM setiap hari mengumumkan statistik nahas jalan raya.

jpj2
Prof Imran berkata maklumat dari Pusat Keselamatan menunjukkan bahawa dari tahun 2005, sebanyak 650 kemalangan berlaku dalam kampus.

Katanya Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli akademik harus mengambil kira permasalahan itu kerana ia merupakan masalah yang besar kepada Negara.

Pada majlis itu Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) telah dinobatkan sebagai johan untuk program tersebut.

Sebanyak 98 kenderaan telah diperiksa oleh pihak JPJ dan 38 daripada kenderaan itu adalah daripada KTHO yang memenuhi syarat keselamatan jalan raya.

Program yang menawarkan wang tunai berjumlah RM3,000 dengan tema ‘merakyatkan penguatkuasaan’ adalah julung kali diadakan hasil kerjasama UKM, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan JPJ.
ukmnewsportal-bm