Alumni Sulung UKM Bertemu Semula


Oleh Iznee Isa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 1 Ogos 2017- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mengumpulkan semula 50 daripada 190 pelajar pertama universiti dan 11 mantan pensyarah mereka di Majlis Ramah Mesra Alumni UKM 70 baru-baru ini.

Tujuan utama perjumpaan ini adalah untuk mengeratkan semula hubungan silaturrahim antara alumni disamping membincangkan beberapa perkara berkaitan pembangunan universiti.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah membina sebuah rumah alumni UKM bagi memudahkan para alumni berkumpul jika ada perjumpaan.

“Sebenarnya, tapak untuk rumah alumni sudah ada tetapi pembinaannya terganggu atas sebab-sebab tertentu.

“Jadi kami di pentadbiran sedang meneruskan usaha untuk mendapatkan tapak lain untuk membina rumah alumni tersebut,” kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal

Beliau turut menyarankan agar alumni dapat melibatkan diri secara aktif dalam memajukan universiti bagi menjamin masa depan UKM.

Di samping itu, Pengarah Majlis Alumni UKM, Prof Dato’ Dr Mohamad Abdul Razak menyatakan bahawa kejayaan universiti banyak bergantung kepada sumbangan alumni.

“Sumbangan tidak semestinya dalam bentuk fizikal atau kewangan, akan tetapi idea atau cadangan yang bernas untuk mempertingkatkan lagi prestasi universiti ini juga sudah mencukupi,” kata beliau.

Cadangan untuk melancarkan tabung alumni UKM turut diketengahkan bagi membantu para pelajar yang memerlukan.

Majlis itu dimeriahkan oleh kehadiran alumi sulung UKM daripada Fakulti Sastera, Sains dan Pengajian Islam yang memulakan pengajian mereka pada tahun 1970 di kampus Lembah Pantai kemudian berpindah ke Bangi.

Turut hadir di majlis tersebut adalah mantan Naib Canselor UKM, Prof Emeritus Dato’ Dr Mohd Sham Sani.