Alumni UKM Bantu Mangsa Banjir Selangor


Berita dan Foto oleh Pusat Perhubungan Alumni

BANGI, 11 Januari 2022 – Seramai 100 sukarelawan yang terdiri daripada warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan alumni menyumbang khidmat bakti membantu mangsa banjir di empat lokasi di Selangor iaitu di Taman Sri Nilam, Hulu Langat; PPR HICOM dan Bukit Lanchong, Shah Alam serta Bukit Tadom, Banting.

Program kesukarelawanan melalui Pusat Perhubungan Alumni UKM di bawah program Misi Bantuan Kasih 7.0 Lembah Klang itu turut menyantuni mangsa banjir dengan menyumbang lebih 1,000 pek barangan keperluan harian termasuk beras, barangan bayi, pakaian dan lain-lain barangan, selain membersih dan mengecat bangunan yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Pusat Perhubungan Alumni yang terus membawa nama UKM bersama Alumni bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan bencana banjir.

“Universiti Watan ini bersedia hadir membantu masyarakat ketika mereka dalam kesusahan,” katanya.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman berharap  sumbangan itu dapat membantu meringankan beban mangsa banjir untuk kelangsungan hidup, selain memohon agar masyarakat bersabar dengan ujian yang menimpa kerana ada hikmah yang berlaku sebaliknya.

Misi Bantuan Kasih ditubuhkan untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat fenomena alam dan juga pandemik COVID19. Ia merupakan pelantar bagi menganjak alumni untuk turun bersama universiti bagi membantu masyarakat.

Sehingga kini jumlah keseluruhan kutipan termasuk barangan sumbangan telah mencecah RM250,000 yang bermula dari misi pertama di Kelantan kemudian bergerak ke negeri-negeri lain seperti Pahang, Perak, dan Selangor.

Kutipan ini adalah sumbangan penajaan daripada beberapa syarikat yang sebahgaiannya adalah merupakan milik alumni UKM iaitu Affin Bank, Yayasan Khalifah, MySutera Sdn Bhd, Gading Kencana Sdn Bhd, Honeytree Pharmacy, MS Gigih Sdn Bhd.

Selain itu ialah Majlis Perbandaran Kajang menyediakan kemudahan pengangkutan dan juga tenaga kerja untuk menjalankan kerja pembersihan di kawasan banjir.

Misi Bantuan Kasih 7.0 Lembah Klang turut mendapat kerjasama dengan Kelab Sukan & Kebajikan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (KESUTRA) dan Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PERTADI).