Alumni UKM Dipilih Sebagai Pemimpin Muda PBB

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

Alumni Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman, 29, telah dipilih sebagai United Nation Young Leaders, baru-baru ini.

Beliau adalah antara 17 belia yang terpilih daripada 18,000 pencalonan dari 186 negara di seluruh dunia.

Dr Mohd Lutfi adalah pengasas Hospital Beyond Boundaries (HBB), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berusaha untuk meningkatkan taraf kesihatan masyarakat melalui inisiatif penjagaan kesihatan yang berterusan.

Beliau, yang juga memegang jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif sejak tahun 2012, dipilih atas sumbangannya dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari 2016-2017 pada perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-17, di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Menurut PBB, HBB dipilih kerana menggalakkan usaha bagi meningkatkan taraf hidup dalam komuniti sasaran dengan konsep Maltamat Pembangunan Mampan sebagai teras aktiviti mereka yang menggalakkan kemakmuran di samping melindungi bumi ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, kejayaan Dr Mohd Lutfi di peringkat dunia nyata menunjukkan bahawa UKM adalah sebuah universiti yang sentiasa melahirkan graduan yang cemerlang.

“Apa yang turut membanggakan kita adalah kedua ibu bapa Dr Mohd Lutfi juga merupakan Alumni UKM.

“Saya amat berbangga dengan pengiktirafan itu. Sejak ditubuhkan 46 tahun lepas, ramai alumni UKM mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat global,” katanya.

Beliau berharap mahasiswa UKM menjadikan kegigihan Dr Mohd Lutfi dalam membantu masyarakat dunia menjadi sumber inspirasi dalam melakar kejayaan di masa hadapan.

“Saya juga berharap agar Dr Mohd Lutfi akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dunia agar mereka mendapat khidmat perubatan yang sempurna dalam mencegah dan merawat penyakit,” katanya.

ukmnewsportal-bm