Alumni UKM Kumpulan Ke-6 Lancar Tabung Alumni 7680


Oleh Alyani Azhar & Iznee Isa
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 3 Ogos 2017- Setelah hampir 37 tahun berpisah, Majlis Malam Sejambak Kasih menyaksikan pertemuan semula alumni kumpulan keenam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam mengimbau kembali kenangan silam sepanjang pengajian di UKM.

Pada majlis itu juga turut dilancarkan Tabung Alumni UKM 7680 sebagai sumbangan para alumni kepada pembangunan universiti.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal berkata pengurusan universiti amat mengalu-alukan sumbangan daripada alumni dan sumbangan itu akan dimanfaatkan untuk membantu pelajar UKM yang memerlukan.

Pengerusi Majlis Alumni, Dato Azis Yacub berkata majlis itu juga diadakan sebagai menghargai jasa para pensyarah UKM yang telah mendidik mereka dahulu.

“Di sinilah bermula segalany,” kata beliau.

Mereka juga berhasrat untuk mengekalkan hubungan erat bersama UKM melalui penubuhan sebuah koperasi alumni bagi meneruskan sumbangan kepada universiti.

Pada majlis itu, Tabung Alumni UKM telah menerima sumbangan bernilai RM10,000 daripada alumni UKM 7680.

Kemeriahan majlis dikongsi bersama kira-kira 60 alumni kumpulan keenam UKM daripada Fakulti Sastera, Sains dan Pengajian Islam yang memulakan pengajian pada tahun 1976 serta beberapa orang pensyarah mereka.

Turut hadir ke majlis tersebut, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali, Penasihat X UKM 7680, Dato’ Othman Desa dan Timbalan Pengarah Perhubungan Alumni, Dr Nazrul Anuar Nayan.