Punca Jurang Jantina Di Universiti

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 23 November 2015 – Jurang jantina di universiti tempatan yang memihak kepada wanita boleh dikaitkan dengan cara ibu bapa  membesarkan anak mereka.

Masyarakat Malaysia secara umum memanjakan anak lelaki tetapi lebih tegas terhadap anak perempuan, kata Tan Sri Datuk Dr Rafiah Salim, Penyandang Kursi Kepimpinan Wanita  di Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr Rafiah berkata jurang perbezaan jumlah pelajar lelaki dan wanita di institusi pengajian tinggi adalah akibat yang tidak disengajakan sikap tradisional ibu bapa terhadap anak lelaki dan perempuan.

“Pada khemat saya, ibu bapa mendidik anak gadis secara lebih tegas berbanding anak lelaki. Sungguh, saya fikir inilah kesilapan ibu bapa. Lelaki akan menunjuk prestasi lebih baik jika mereka dididik seperti anak gadis.

“Ini dicerminkan dalam pendidikan, keputusan dan kemasukan ke universiti, guru sekolah dan pengetua, lebih ramai wanita berbanding lelaki.

“(Untuk) Pensyarah, (ada) campuran yang baik, tetapi pada peringkat  lebih tinggi, lebih ramai wanita (yang layak),” katanya dalam syarahan beliau kepada sekumpulan ahli akademik wanita dari universiti dan institusi penyelidikan Pakistan, yang dianjurkan oleh PKWTFH dan Universiti Terbuka Wawasan, di sini hari ini.

Menurut Dr Rafiah, 68, walaupun keluarga beliau sendiri dan caranya  dibesarkan agak berbeza daripada cara Melayu tradisional, banyak  keluarga Muslim lain masih mengamalkan diskriminasi terhadap anak perempuan.

“Ibu bapa mengharapkan anak gadis melakukan lebih banyak kerja-kerja rumah. Tetapi adakah mereka akan meminta anak lelaki mencuci pinggan sendiri pun selepas makan? Saya fikir tidak.

“Apabila anak gadis remaja keluar pada waktu malam pada hujung minggu, ibu-bapa biasanya mengarahkan mereka pulang lebih awal. Sedangkan anak lelaki lebih bebas,” kata mantan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) itu yang berpengalaman tiga dekad dalam bidang akademik dan sumber manusia.

Didikan tegas anak gadis, menurut beliau, telah menghasilkan wanita yang lebih tekun dan hemat berbanding lelaki yang menjadi kurang berdisiplin dan tidak mengambil berat diri sendiri.

Dr Rafiah, yang latar belakangnya adalah Undang-undang, memulakan kerjaya akademiknya pada tahun 1974 apabila memegang jawatan  pensyarah di Fakulti Undang-Undang UM. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Dekan fakulti Undang-Undang pada tahun 1986, dan pada tahun berikutnya, menjadi Dekan fakulti.

Beliau belajar undang-undang di Queen’s University of Belfast, dan  memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1971 dan Sarjana Undang-Undang pada tahun 1974. Pada tahun 2005 Rafiah telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh universiti tersebut.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Agung untuk  Pengurusan Sumber Manusia di ibu pejabat PBB di New York.

Beliau memegang jawatan Pengurus Besar (Sumber Manusia) di Malayan Banking dan Penolong Gabenor Bank Negara.

Beliau kini merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad.

Turut hadir pada ceramah tersebut Pengarah PKWTFH Prof Madya Dr Madeline Berma dan Timbalan Pengarah Prof Madya Dr Bahiyah Dato’ Abdul Hamid.ukmnewsportal-bm
02

03

04