ATMA Beri Penghargaan Kepada Keluarga Pelajar PhD yang Meninggal Dunia


Oleh Izzul Aniq
Gambar oleh Izwan Azman

BANGI 18 Julai 2018 – Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberi penghargaan kepada keluarga pelajar Doktor Falsafah (PhD), Allahyarhamah Balqis Suja’ yang telah meninggal dunia pada 28 Mei lepas.

Penghargaan itu diberikan kerana  jasa dan usaha beliau sepanjang empat tahun pengajiannya di UKM.

Allahyarhamah yang berusia 53 tahun memulakan pengajian di UKM pada tahun 2014 dan dijangka akan menamatkan pengajiannya pada tahun ini.

Beliau yang merupakan Timbalan Ketua Pustakawan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah melengkapkan penyelidikan PhD, iaitu menyediakan pangkalan data berbahasa jawi.

Suaminya, Nazin Abdul Rahman berkata, Allahyarham  isterinya adalah seorang yang mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu agama serta bidang penulisan.

“Beliau sering berpegang kepada ayat Al-Quran yang mengatakan bahawa dalam kehidupan haruslah rajin dalam menulis dan mengajar,” ujar Nazin.

Sepanjang pengajiannya, Allahyarhamah Balqis Suja’ telah menerbitkan dua buah buku yang berjudul Islamic Librarianship and Malaysian Islamic Libraries dan Pemerkasaan Perpustakaan Islam.

Terdahulu, Pengarah ATMA, Prof Dr Supyan Hussin berkata, universiti harus mempunyai sifat mengambil berat dan menghargai pelajar-pelajar mereka.

“Sijil penghargaan ini diberi kepada keluarga Allahyarhamah sebagai inspirasi kepada kenalan dan anak-anaknya dalam menunjukkan sifat Allahyarhamah yang tidak mudah berputus asa dan sering mahukan ilmu pengetahuan,” katanya.