ATMA Julang Pengajian Alam Melayu di Kota London

LONDON, 5 Oktober 2016 – Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pengajian Alam Melayu 2016, di London, baru-baru ini.

Persidangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif ATMA untuk meletakkan pengajian Alam Melayu ke hadapan dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu yang bernilai dan penting dalam pembangunan intelektual dan spiritual Melayu.

Persidangan tersebut telah menyaksikan sebanyak 48 kertas kajian dalam pelbagai bidang pengajian alam Melayu dibentangkan oleh para peserta dari seluruh dunia seperti Jerman, Perancis, United Kingdom, Korea, negara ASEAN dan Malaysia.

Pada majlis perasmian, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim telah menyampaikan ucaptama bertajuk Cabaran Pengajian Dunia Melayu & Tamadun Islam.

Dalam ucaptamanya, Tan Sri Rais telah menyarankan agar taraf pengajian Melayu yang semakin kecil peranannya di Malaysia diperluaskan kepada fakulti khusus yang lebih besar dan mantap.

Sementara itu, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyampaikan ucaptama kedua bertajuk Pengajian Melayu dan Masa Depannya: Keperluan Membangun Naratif Baru.

Beliau, yang juga Menteri Besar Johor, telah membuat tawaran kepada universiti di Eropah untuk berkerjasama dengan Universiti Awam di Malaysia bagi membuka cawangan Pengajian Melayu di negeri Johor.

Beliau turut menawarkan kursus latihan industri di Johor, bersama Yayasan Warisan Johor, kepada pelajar yang berminat untuk mendalami budaya Melayu.

Persidangan selama dua hari itu telah dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain, Dato’ Ahmad Rasidi Hazizi, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM Prof. Dato’ Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat dan Pengarah ATMA Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin

Persidangan tersebut telah dianjurkan bersama Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti London, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.ukmnewsportal-bm