Ban Ki-moon Terima Ijazah Kehormat Keamanan Sejagat dan Pembangunan Mapan dari UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 Disember 2019 – Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Keamanan Sejagat dan Pembangunan Mapan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena Majlis Konvokesyen UKM ke-47.

UKM adalah universiti pertama di negara ini yang memberi penganugerahan itu bagi menghargai dedikasi dan sumbangan berterusan diplomat global itu ke arah kemapanan dunia.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. Turut hadir bersama ialah Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tunku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

Kebolehan dan sifat kepimpinan Ban Ki-moon telah meletakkan beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung PBB selama dua penggal iaitu dari tahun 2007 sehingga 2016.

Sebagai pemimpin utama di PBB, Ban Ki-moon sangat sensitif terhadap isu pembangunan mapan khususnya kemiskinan, kualiti hidup, perubahan iklim dan pemerkasaan wanita dan remaja.

Inisiatif utama beliau adalah menjadikan isu perubahan iklim sebagai agenda global pada Sidang Kemuncak Perubahan Iklim.

Beliau juga melancarkan inisiatif Caring for Climate yang mensasarkan peranan organisasi perniagaan dalam memerangi isu perubahan iklim. Inisiatif ini telah ditandatangani oleh 350 wakil organisasi perniagaan dari 65 buah negara.

Lawatan beliau ke Antartika, Patagonia Chile, Amazon, Lautan Artik, Kiribati dan Greenland telah mendapat perhatian dunia yang akhirnya mencetuskan usaha untuk mengurangkan kesan dari perubahan iklim.

Antara pencapapaian cemerlang Ban Ki-moon adalah mencetuskan konsep Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), semasa Persidangan PBB mengenai Pembangunan Mapan di Rio de Janeiro pada tahun 2012.

Konsep ini telah diberikan rangsangan yang baik semasa Perjanjian Paris mengenai Perubahan Iklim pada tahun 2015 dan telah mendapat sokongan dari 193 ahli PBB.

Sebagai seorang yang berpegang teguh dengan konsep pembangunan mapan, Ban Ki-moon telah melancarkan Pendidikan Global (Global Education) sebagai agenda antarabangsa dengan menggerakkan sumber-sumber global yang ada untuk menyediakan pendidikan kepada semua.

Dalam syarahannya bertajuk Keamanan Sejagat dan Pembangunan Mapan sempena penganugerahan tersebut, Ban Ki-moon berkata melalui pemerkasaan pendidikan, pembangunan mapan dapat direalisasikan demi menjaga keamanan sejagat.

“Untuk merealisasikan SDGs 2030, kita (dunia) memerlukan bantuan semua pihak termasuk kerjasama di antara kerajaan, masyarakat dan ahli akademik.

“Tanpa pendidikan, adalah sukar bagi kita (dunia) untuk melaksanakan kesemua agenda itu seperti contoh di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini yang menyediakan pendidikan berkualiti. Ini sangat diperlukan dalam membasmi kemiskinan, kesaksamaan gender dan kesihatan umum,” katanya

Walaupun telah bersara, Ban Ki-moon tetap terus mengejar impiannya untuk mewujudkan keamanan sejagat dan memberi kesadaran kepada masyarakat mengenai hak dan tanggungjawab bersama.

Impian ini terus berkembang dan direalisasikan dengan tertubuhnya Ban Ki-moon Centre for Global Citizens bertempat di Vienna dan diasaskan bersama Heinz Fischer, bekas Presiden Austria.

Beliau turut berkhidmat sebagai Presiden dan Pengerusi Global Green Institute; sebuah organisasi antarabangsa yang komited memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi di negara-negara membangun.