Bangga Sertai Deklamasi Puisi

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

Proud To Be With The Stars Of Poetry.jpg1BANGI, 5 April 2015 – Puisi bertajuk ‘Siapakah yang Pernah Menduga’ hasil karya Abd Razak Hussein menjadi pilihan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali untuk dideklamasikan pada majlis Bintang-Bintang Berpuisi anjuran akhbar Utusan Malaysia dan UKM di sini hari ini.

Prof Noor Azlan ternyata teruja de­ngan jemputan sebagai antara pendeklamasi puisi pada majlis ber­kenaan berkata, penyertaannya itu merupakan kali pertama beliau dalam aktiviti seni sejak menceburi bidang akademik.

Merasa bangga kerana bersama-sama penggiat seni, negarawan dan budayawan lain dalam menjayakan acara bersejarah ini, Prof Noor Azlan  memberitahu, beliau telah meluangkan masa melakukan persediaan dan latihan walaupun berdepan dengan kesibukan tugas.

Namun kata Naib Canselor,  beliau melakukan yang terbaik demi memartabatkan seni puisi sebagai salah satu cara untuk menterjemahkan perasaan dan jiwa seseorang dalam melayari kehidupan masing-masing.

“Majlis ini amat bermakna lagi dengan kehadiran Datuk Seri Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan serta rakan-rakan artis dan media,” kata beliau dalam ucapan alu-aluan.

Puisi ‘Ke Makam Bonda’ karya Datuk Usman Awang menjadi pilihan   Hasan sebagai puisi yang beliau bacakan pada majlis ini.

“Puisi Ke Makam Bonda yang telah dinukilkan Sasterawan Negara ini amat dekat di hati saya kerana ia menyentuh perasaan, emosi dan nilai-nilai kemanusiaan serta kekeluargaan yang terselit di setiap bait-bait puisi itu,” kata ahli parlimen Kuala Pilah ini.

Majlis Bintang-Bintang Berpuisi tersebut tidak sekadar memberi peluang kepada artis-artis popular berkongsi perasaan seni mereka melalui puisi, tetapi turut akan dijayakan ahli politik, ahli akademik, budayawan dan ahli sukan.

Selain Hasan, antara deklamator yang menjayakan acara Bintang-Bintang Berpuisi ini ialah seniman Khalid Salleh; pelakon Rita Rudaini; Johan As’ari dan Yana Samsudin.

Selain itu, penyanyi hebat Datuk Hattan; pelakon Ezzaty Abdullah; Ana Raffali dan Ezad Lazim turut menyampaikan puisi masing-masing.

Penyair popular Terengganu, Awang Abdullah @ Pui Teong Gee pula juga muncul de­ngan puisi terbaharunya dalam acara yang berlangsung selama dua jam.

Tidak ketinggalan jaguh angkat berat negara, Mohd. Hafifi Mansor yang pernah menyumbang pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow dalam kategori 69 kilogram juga memberi sumbangan.

Sementara itu, masing-masing Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Datin Noor Aziah Mohd. Awal dan Prof Ir. Datuk Dr. Riza Atiq OK Rahmat (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), pula mewakili UKM menyampaikan puisi.

Acara ini turut mendapat kerjasama daripada syarikat swasta, Hitachi – LG – Data Storage Inc. yang komited untuk menyokong acara kesusasteraan tanah air.
ukmnewsportal-bm