Bapa Dan Anak Terima Ijazah di UKM

dsc_5453-custom
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Shahiddan Saidi

Pasangan bapa dan anak yang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UKM ke-44 baru-baru ini.

Saparuddin Zainuddin, 54, Pegawai Tadbir Kanan di Pusat Jaminan Kualiti UKM berkata beliau berbangga dapat bersama-sama anaknya, Ain Suraya Hanom, 22, menerima ijazah pada majlis konvokesyen yang sama.

“Universiti ini adalah universiti pilihan keluarga saya, malah ramai ahli keluarga lain juga merupakan mahasiswa dan graduan UKM,” katanya.

Katanya UKM adalah universiti yang serba lengkap serta menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh setiap mahasiswa.

“Walaupun saya mengambil Ijazah Sarjana secara sambilan, tetapi saya masih mampu untuk mengurus masa dengan baik.

“Waktu kuliah adalah pada waktu malam, jadi ia tidak menggangu waktu bekerja saya,” jelasnya.

Beliau bersyukur kerana dapat menyiapkan segala tugasan dengan berpandukan bahan bacaan di perpustakaan dan kerana para pensyarah juga sangat memahami keadaan beliau yang sentiasa sibuk dengan rutin kerja.

Beliau yang berkhidmat di UKM selama 32 tahun berharap kakitangan UKM yang lain mengambil peluang yang ada kerana UKM sentiasa menyokong kakitangan untuk terus menimba ilmu dan berjaya dalam bidang akademik.

Saparuddin menerima Ijazah Sarjana (Pentadbiran Pendidikan) dari Fakulti Pendidikan.

Sementara itu, anaknya, Ain Suraya Hanom, graduan Ijazah Sarjana Muda Biokimia, Fakulti Sains Dan Teknologi berkata bapanya adalah sumber inspirasinya untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Jika bapa saya boleh sampai ke tahap ini, tidak mustahil untuk saya berjaya seperti beliau.

“Walaupun umurnya telah mencecah 50 tahun, tetapi beliau sentiasa berusaha dan tidak pernah berputus asa demi mencapai kejayaan,” katanya.
dsc_5471-custom