Bayaran Zakat Kepada Pelajar Mobiliti UKM Di Luar Negara?

120515_zakat_02newOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 11 Mei  2015 –  Pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) asnaf yang layak menyertai Program Mobiliti di luar negara mungkin menerima pengagihan zakat tidak lama lagi.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, pemberian zakat bagi program tersebut masih dalam perbincangan pihak universiti kerana pada masa ini, Pusat Zakat UKM hanya menyalurkan bantuan kepada pelajar kampus untuk pembayaran yuran dan beberapa keperluan lain.

“Walaupun pihak universiti menyediakan peruntukan RM1 juta setiap tahun bagi program zakat, ia masih tidak mencukupi kerana melibatkan 120 pelajar bagi setiap tempoh pengajian.

“Selain itu, ini bertujuan memusatkan bantuan kewangan berikutan  terdapat beberapa pelajar yang berpeluang mengikuti program Mobiliti  bukan sahaja mendapatkan dana yang diperuntukkan tetapi turut meminta bantuan daripada Pusat Zakat,” kata Prof Noor Azlan.

Tambah beliau, walaupun menerima sabsidi tersebut, mereka memerlukan dana untuk menampong kos selebihnya untuk menyertai program mobiliti.

Beliau berkata demikian dalam majlis Penyerahan Sumbangan Zakat oleh Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) kepada Unit Zakat UKM di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Prof Imran Ho Abdullah (Jaringan Industri dan Masyarakat), Pegawai Bendahari UKM, Khalijah Abu Bakar dan Ketua Hubungan Strategik dan Pengurusan Produk Bank Islam, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh.

Sebelum itu, Wan Ismail menyerahkan cek zakat bernilai RM50,000 kepada Prof Noor Azlan sebagai pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Islam.

Kata Prof Noor Azlan, Program Mobiliti merupakan kursus pertukaran pelajar UKM ke luar negara sama ada melalui pertambahan jam kredit atau pengajian ijazah sarjana muda kedua. Maka hanya pelajar asnaf yang berkelayakan akan mendapat tawaran sumbangan zakat berkenaan.

Menurut beliau keputusan pelaksanaan pemberian zakat bagi program mobiliti dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, kutipan zakat bagi tahun lalu adalah sebanyak RM7 juta dan separuh daripadanya diagihkan kepada pelajar asnaf bagi pembiayaan yuran pengajian.

Sehubungan itu katanya, bagi tahun ini pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM8.5 juta bagi membolehkan penyaluran kepada Program Mobiliti dilaksanakan.

sumbangan bank islam