Belia Berkaliber Bakal dilantik sebagai Ahli Dewan Negara


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Shahiddan Saidi, Izwan Azman

BANGI, 16 Mei 2019 – Kerajaan bersetuju untuk melantik seorang Ahli Dewan Negara dari kalangan belia berkelayakan yang mempunyai kepakaran luas dalam bidang dan isu pembangunan belia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan pastikan suara anak muda akan sentiasa diberi perhatian dan diambil kira dalam setiap proses keputusan Kerajaan di semua peringkat – daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya cadang supaya pelantikan (Ahli Dewan Negara) tersebut dibuat dalam masa terdekat dan calon yang sesuai akan dilantik ke jawatan Senator.

“Inisiatif penyertaan anak mudaditeruskan dengan melantik belia yang berkelayakan dalam pelbagai jawatan utama bagi meningkatkan suara anak muda membuat keputusan,” katanya semasa sambutan Hari Belia Negara 2019 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau turut menyifatkan pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan merupakan cabaran generasi muda masa kini.

“Pekerjaan untuk anak muda diberi keutamaan dan Kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu untuk menurunkan kadar pengangguran dan ini termasuklah ke arah mewujudkan sejuta peluang pekerjaan. Usaha ini sedang giat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta dana khas pada tahun 2020 untuk pembangunan infrastruktur sukan luar bandar bersama sektor swasta bagi meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi kepada semua anak muda.

Pada majlis tersebut, Tun Dr. Mahathir turut melancarkan “Youth Power Club” yang menggabungkan semua penggerak belia dan sukan akan diwujudkan bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti anak muda yang fokus kepada kerja-kerja komuniti dan melatih pelapis kepimpinan anak muda di akar umbi.

“Untuk itu, lebih daripada RM50 juta akan diperuntukkan bagi tahun 2019 dan 2020 bagi pelaksanaan program Youth Power.

Peruntukan ini termasuklah RM7.4 juta untuk tahun 2019 bagi menggerakkan Youth Power Club di 222 buah kawasan di seluruh negeri,” katanya.

Turut diadakan penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2019 (APBN 2019) anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS).

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha dan pegawai-pegawai tertinggi UKM.