Bengkel MPSAS Tingkat Pengetahuan Perakaunan Sektor Awam Malaysia


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Januari 2020 – Bengkel Piawaian Perakaunan Sektor Awam Malaysia, Analisa Penyata Kewangan (MPSAS) yang julung kali diadakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dapat meningkatkan pengetahuan penjawat awam berkenaan polisi terkini perakaunan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa berkata, penganjuran bengkel itu dapat meningkatkan pengetahuan akauntan, juruaudit dan penjawat awam mengenai penggunaan Piawaian Perakaunan Sektor Awam Malaysia, selain dapat mengetahui polisi terkini berkaitan MPSAS, serta meningkatkan pengetahuan dalam membuat Analisa Penyata Kewangan.

“MPSAS yang dikeluarkan oleh Jabatan Akauntan Negara ini wajib diguna pakai pada tahun 2020 bagi semua sektor awam termasuk agensi dan badan berkanun kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, MPSAS telah digubal berdasarkan International Public Sector Accounting Standard (IPSAS) yang dikeluarkan oleh International Federation of Accounting (IFAC) yang mempunyai tatacara pengiktirafan, pengukuran dan pendedahan terhadap isu-isu spesifik sektor awam yang tidak terdapat dalam mana-mana piawaian perakaunan lain, sama ada Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS), Private Entity Reporting Standards (PERS) atau Malaysian Private Entities Reporting Standard (MPERS).

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Perakaunan dan Pengurusan (BPPP), Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Jafril Junit, Pengarah Eksekutif Kewangan, Norini Mohamad dan Pemangku Pengarah, Yayasan Canselor, UKM Dr Mohd Fairuz Md Salleh.

Bengkel MPSAS yang diadakan selama dua hari itu mendapat kerjasama daripada Institut Perakaunan Negara dan Jabatan Audit Negara.