Berkampung 2 Bulan Di UKM Belajar Perniagaan Berasas Teknologi

baridah
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 7 Julai 2015 – Pelajar-pelajar dari 17  Universiti Awam dan Swasta berkampung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama dua bulan bermula 29 Jun lepas bagi menjayakan program MIT-Global Start-up Lab Malaysia 2015.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED), Prof Madya Datin Dr Shamshubaridah Ramlee berkata pelajar-pelajar ini akan menjalani program keusahawanan berasaskan teknologi di UKM sehingga Ogos nanti.

“Mereka akan dibimbing oleh tiga orang fasilitator dari Massachusetts Institute of Technology (MIT). Pelajar-pelajar ini akan diajar teknik-teknik untuk menyediakan idea perniagaan berasaskan teknologi seperti aspek teknikal dalam pembangunan apps,” katanya selepas majlis pelancaran MIT-Global Start-up Lab Malaysia 2015 di sini pada 29 Jun lepas.

MIT Global Startup Labs adalah kumpulan pelbagai disiplin MISTI (Inisiatif Antarabangsa Sains dan Teknologi MIT) yang menggalakkan pembangunan dalam bidang-bidang baru muncul dengan memupuk usahawan teknologi muda.

Beliau berkata ketika tujuh minggu pelajar-pelajar itu berkampung di Kolej Za’ba, mereka juga perlu ke CESMED dan akan turut di bawa ke Kuala Lumpur untuk melakukan kerja lapangan.

“Kita akan sediakan pengangkutan kepada mereka supaya mereka mudah untuk bergerak,” katanya.

Dr Shamshubaridah berkata UKM menghantar lapan orang peserta yang telah mengikuti program-program di CESMED iaitu program junior start-up dan senior start-up.

“Program-program ini adalah program di bawah MIT-GSL iaitu Massachusetts Institute of Technology- Graduate Start Up Lab.

“Jadi untuk peserta dari UKM, sekurang-kurangnya they move to the next level kerana mereka telah mendapat asas di junior start-up kemudian diterus kepada senior start-up. Sekarang mereka berpeluang untuk bersaing di peringkat negara,” jelasnya.

Beliau memberitahu bahawa pada tahun lepas, UKM tidak memenangi apa-apa pertandingan sepanjang program itu berlangsung.

“Saya mengharapkan apabila kita menghantar penyertaan yang lebih pada tahun ini, sekurang-kurangnya ada pelajar kita yang akan menang dalam pertandingan yang diadakan pada penghujung program,” terangnya.

Menurut beliau di penghujung program, para peserta perlu membentangkan hasil apps yang dibuat kerana ia adalah pertandingan untuk program ini.

“Selain dari peserta MIT-Global Start-up Lab Malaysia, pertandingan itu juga turut dibuka kepada orang awam. Jadi saingan akan menjadi lebih sengit kepada para peserta kita,” katanya.

Menurut Dr Shamshubaridah peserta-peserta yang menyertai program itu bukannya terdiri daripada pelajar-pelajar IT (Information Technology) semata-mata sebaliknya pelajar-pelajar dari bidang lain turut terlibat.

“Walaupun kebanyakan mereka (peserta) adalah dari bidang IT, tetapi dalam kumpulan mereka itu ada juga pelajar dari bidang lain kerana pelajar-pelajar IT hanya tahu perkara yang berasaskan teknikal sahaja tetapi dari segi penggunaan produk, siapa yang sesuai menggunakan produk itu dan cara pemasaran produk memerlukan peserta daripada bidang lain,” katanya.

Belaiu berharap agar apabila tamat sahaja program tersebut para peserta boleh jadi technopreneurs atau usahawan teknologi kerana peserta yang terlibat adalah terdiri daripada pelajar tahun tiga dan empat.

Program tersebut adalah anjuran UKM-CESMED bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Multimedia Development Corporation (MdeC).ukmnewsportal-bm

2